Mohd Zawawi Ahmad Mughni memberi penjelasan beberapa isu dalam program bual bicara bersama Media Selangor di Shah Alam pada 14 Disember 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

EXCO: Cari jalan penyelesaian masalah agama dengan agensi berkaitan

SHAH ALAM, 18 MAC: Umat Islam di negara ini khususnya di Selangor diseru menyalurkan sebarang masalah kepada agensi berkaitan, kata EXCO hal ehwal agama Islam.

Zawawi Ahmad Mughni berkata gesaan itu dilakukan setelah DYMM Sultan Selangor menzahirkan rasa dukacita berikutan terdapat segelintir umat lslam khususnya di negeri ini yang mengugut untuk keluar agama apabila berdepan masalah.

“Berkongsilah masalah anda dengan pihak berkaitan termasuk Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) atau Majlis Agama Islam Selangor (Mais) kerana mereka bersedia berkhidmat untuk anda.

“Janganlah sesuatu masalah diselesaikan melalui emosi yang tidak menentu kerana ia boleh memberikan jalan keluar yang salah. Melalui perkongsian rasa dan pengalaman ia akan memberikan jalan keluar terbaik,” katanya dalam kenyataan.

Kelmarin, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dalam kenyataan bertitah baginda dukacita terhadap segelintir umat Islam yang tidak berhati-hati dalam berkata-kata hingga menjejaskan akidah dan agama.

Tuanku bertitah apa jua iktikad (pernyataan dalam hati), percakapan atau perbuatan untuk keluar dari agama dikhuatiri boleh tergelincir akidah.

Justeru Zawawi Ahmad berkata pihaknya menyambut baik ingatan baginda terhadap umat Islam itu.

“Sebagaimana titah Tuanku, Islam dan iman adalah satu anugerah dan nikmat dari Allah SWT kepada umat Islam, maka hendaklah kita menjaganya dengan baik dan penuh kesabaran dalam apa juga situasi termasuk dalam keadaan selesa atau kepayahan.

“Sesungguhnya tanda iman dan Islam seseorang itu adalah melalui perkataan, perbuatan dan penerimaan hati. Oleh itu hendaklah berhati-hati dengan tiga perkara ini agar tidak terlanjur meruntuhkan Iman dan Islam,” katanya lagi.


Pengarang :