AGENDAEKONOMINASIONAL

Ringgit diniaga tinggi 4.1090/1130 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 18 MAC: Ringgit meningkat berbanding dolar AS sewaktu dibuka hari ini dengan meraih 100 mata asas (bps) berikutan keputusan mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) yang memihak kepada kadar faedah rendah untuk mengekalkan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) kepada hampir sifar.

Pada 9 pagi, unit tempatan itu menokok kepada 4.1090/1130 berbanding dolar AS daripada 4.1190/1240 sewaktu ditutup pada Rabu.

Ketua Strategi Pasaran Global Axi Stephen Innes berkata dolar AS telah merosot di seluruh papan selepas pengumuman FOMC yang dimuktamadkan pada 17 Mac.

“Oleh itu, ringgit akan menyaksikan sedikit peningkatan hari ini,” katanya kepada Bernama dalam satu nota.

Bagaimanapun, berbanding mata wang utama lain, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah kecuali berbanding yen Jepun.

Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0678/0715 daripada 3.0593/0637 sewaktu ditutup pada Rabu, jatuh berbanding pound Britain kepada 5.7407/7471 daripada 5.7250/7332 dan turun berbanding euro kepada 4.9250/9303 daripada 4.9053/9129 sebelum ini.

Unit tempatan itu meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.7708/7751 daripada 3.7751/7807 pada Rabu.

– BERNAMA

 


Pengarang :