Petugas Kesihatan Selcare melakukan ujian Covid-19 ketika Saringan Komuniti di Dewan Serbaguna MPSJ, Seri Kembangan, Serdang pada 6 Mac 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Kes mingguan Covid-19 di Selangor turun lima kali berturut-turut

SHAH ALAM, 15 MAC: Kes Covid-19 secara mingguan di negeri ini turun lima kali berturut-turut sejak awal Februari, kata Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC).

Pada minggu pertama iaitu 6 hingga 12 Februari, sebanyak 9,198 kes baharu direkod tetapi jumlah itu turun kepada 8,031 kes dalam tempoh 13 hingga 19 Februari.

Ia diikuti 5,591 kes dicatat pada 20 hingga 26 Februari, 4,965 kes (27 Februari hingga 5 Mac) dan 4,786 (6 hingga 12 Mac).

“Syabas! Selangor mencatatkan penurunan kali kelima berturut-turut bagi kes mingguan. Ini merupakan satu isyarat yang sangat baik untuk mengembalikan negeri ini menjadi bebas Covid-19,” katanya melalui Twitter.

Bagaimanapun, STFC menegaskan penurunan itu bukanlah lesen untuk orang ramai melanggar tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan.

“Perjalanan kita masih jauh, pematuhan SOP masih penting. Pada masa sama, warga Selangor boleh terus menyertai sarigan percuma yang ditawarkan Kerajaan Negeri,” katanya.


Pengarang :