Pesara, Abdul Hai Ismail Pakir Muhiddin Shah, 75, (dua, kiri) dan isteri Endot Hairudin, 72, (kiri) menyambut ketibaan sanak-saudara sempena Aidilfitri yang disambut dalam norma baharu pada 24 Mei 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

KKM pertimbang benarkan balik raya di kampung jika kes Covid-19 rendah

SHAH ALAM, 21 MAC: Orang ramai mungkin dibenarkan balik kampung untuk menyambut Aidilfitri tahun ini jika mereka terus mematuhi tatacara operasi piawai (SOP).

Mengikut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), keputusan itu bergantung penilaian risiko ini dari semasa ke semasa termasuk kebarangkalian penularan jangkitan Covid-19.

“KKM mengkaji semua data dan fakta sebelum menasihat atau mencadangkan kepada Jawatankuasa Teknikal untuk diputuskan Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara.

“Jika kepatuhan yang tinggi kepada SOP yang ditunjukkan oleh kita semua ketika ini berterusan, tidak mustahil kemeriahan balik kampung untuk menyambut Aidilfitri akan dirasai tahun ini,” menurut KKM di Facebook.

Berikut enam faktor penilaian risiko KKM:

1. Situasi kes harian termasuk kes yang sudah sembuh dan dibenarkan pulang
2. Trend dan kadar kebolehjangkitan
3. Situasi semasa iaitu kadar kematian dan jumlah kes kematian
4. Keupayaan katil dan wad Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital
5. Situasi semasa petugas kesihatan yang dijangkiti dan
6. Ujian saringan yang dijalankan di lapangan, saringan penyakit seperti influenza (ILI), jangkitan pernafasan akut teruk (SARI) dan persampelan prapembedahan serta kemasukan ke wad.


Pengarang :