Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari memberi amanat ketika program Bicara Amanat Presiden KEADILAN Kekal Relevan di Dewan Sri Siantan, Batu Caves pada 27 Mac 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Teruskan reformasi, Selangor tapak paling kukuh KEADILAN

GOMBAK, 27 MAC: Prinsip perjuangan reformasi di Selangor akan terus dipertahan kerana negeri ini benteng kukuh Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Selangor berkata pembentukan ketua ranting, Angkatan Muda dan pimpinan Wanita KEADILAN membuktikan parti itu lahir dengan semangat mahu memelihara maruah dan membawa perubahan kepada negeri serta negara.

“Pada 1998, kita turun ke jalan… bangun dari tidur… terbuka mata dengan kes yang melanda Datuk Seri Anwar Ibrahim selain kelaziman yang melata, rakyat turun di jalan dibelasah, ada yang didakwa, ditekan, dibuang kerja dan hari ini isu tersebut masih belum pulih.

“Sebab itu, reformasi harus terus dilaksanakan dan saya cukup yakin rakan-rakan (penyokong parti) membuat keputusan yang betul untuk terus kekal dengan perjuangan reformasi malah menjadikan Selangor sebagai kubu paling kukuh dengan KEADILAN,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Dewan Reformasi dan Bicara Amanat Presiden KEADILAN Kekal Relevan di Dewan Sri Siantan, Batu Caves di sini hari ini.

Amirudin yang juga Dato’ Menteri Besar Selangor menjelaskan cita-cita reformasi yang sebenar adalah mahu melihat perubahan berlaku tanpa memikirkan soal kuasa, pangkat dan kedudukan.

“Kita bukan nak duduk di posisi dan kedudukan mana, siapa jadi PM (perdana menteri)… menteri kanan, menteri kiri dan menteri tepi tetapi kita ingin lihat perubahan institusi (pentadbiran), pendakwaan serta keadilan diberikan kepada warganya.

“Kita sedih apabila sebahagian di sana (individu keluar parti) pernah jerit reformasi tetapi jiwa tak tersentuh… hilang dari nadi denyut. Kalau jiwa dan nadi mereka betul-betul ada (jiwa) reformasi, tidak mungkin mereka masih lagi bersungguh-sungguh mempertahankan sebuah kerajaan dan pentadbiran yang ‘double standard’,” katanya.

 

 


Pengarang :