AGENDANASIONAL

Ramai buat laporan palsu elak didenda MyKad hilang

SHAH ALAM, 17 MAC: Sebanyak 18 laporan palsu mendakwa disamun kerana enggan membayar denda kehilangan kad pengenalan (MyKad) direkodkan di Kajang pada tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang berkata 13 kes sudah dituduh di mahkamah mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan, manakala bakinya dalam siasatan, lapor Harian Metro.

“Bagi tahun ini, sehingga Februari lalu, sebanyak tujuh laporan palsu berkaitan direkodkan dan daripada jumlah itu, dua kes sudah dituduh di mahkamah mengikut seksyen sama, manakala selebihnya masih disiasat,” kata Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan.

Jelasnya, terdapat peningkatan taktik sedemikian dan siasatan mendapati kebanyakan mereka enggan didenda ketika memohon semula MyKad yang hilang akibat kecuaian sendiri.

Mohd Zaidi berkata orang ramai diberi amaran tidak membuat laporan palsu bagi mengelak berdepan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.


Pengarang :