Fatin Shahida Azmi sentiasa memastikan tahap kecergasannya kekal berada pada tahap terbaik sebagai persediaan berdepan saingan akan datang. Foto ihsan Fatin Shahida Azmi
BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Rembatan wanita, capai impian bersama Selangor

SHAH ALAM, 10 MAC: Di sebalik kemelut pandemik, penjaring terbanyak kategori wanita Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL) musim 2019 sentiasa memastikan tahap kecergasannya kekal berada pada tahap terbaik.

Malah, Fatin Shahida Azmi, 30, yang mewakili Selangor sejak 2019 tidak sabar-sabar menanti kedatangan Ogos, bulan kejohanan itu dijadual bermula.

Bahkan, anak kelima dari tujuh beradik memasang tekad untuk menjuarai kejohanan itu, sesuatu yang belum dikecapinya. Beliau yang juga pemain kebangsaan sejak 2012 turut mengintai aksi peringkat antarabangsa.

“Sasaran saya tahun ini, pastinya mahukan kejuaraan MPFL yang akan bermula Ogos nanti. Kejohanan besar (pasukan kebangsaan) setakat ini mungkin Sukan Sea di Vietnam,” katanya.

Meski latihan banyak terjejas akibat penularan Covid-19, penguat kuasa Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) mengamalkan disiplin latihan ketat sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

“Alhamdulillah, persediaan untuk kecergasan setakat ini berjalan lancar. Selagi kudrat saya masih diperlukan, keinginan untuk melakar lebih kejayaan semakin membara,” katanya.

Fatin Shahida Azmi dinobatkan penjaring terbanyak kategori wanita Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL) musim 2019. Foto ihsan Fatin Shahida Azmi

Untuk itu, beliau yang berkhidmat di MBSJ selama 11 tahun perlu bijak membahagikan masa antara kerjaya dan latihan sukan.

“Kalau dipanggil untuk menyertai latihan secara kompetitif dari pasukan negeri, kelab atau kebangsaan majikan saya akan memberi pelepasan untuk menyertainya bersama pasukan,” katanya.

Fatin Shahida mula bermain futsal pada usia 18 tahun dengan menyertai pelbagai kejohanan termasuk Sukan Malaysia (SUKMA) dan Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-anggota Kerajaan Malaysia (Maksak).

Gadis kelahiran Johor mula mewakili negara dalam Kejohanan Futsal Dunia di Portugal pada 2012.

Beliau yang sinonim dengan jersi nombor 10 pernah mewakili beberapa pasukan antaranya Terengganu dan Felda United. Malah, Fatin Shahida yang juga pernah mewakili Terengganu dalam acara badminton antara 2004 hingga 2008.

Namun, kejayaan yang dilakarnya tidak semudah bola bergolek di gelanggang futsal. Pada awal penglibatannya, Fatin Shahida kerap menerima bayaran rendah, tidak setimpal dengan kemahirannya.

Bagaimanapun, beliau menukar kekecewaan sebagai kepalan azam dan terus mengasah kemahirannya hingga akhirnya berpeluang menyarung jersi negara.

“Boleh dikatakan apa yang diberi tidak berbaloi dengan apa yang saya lakukan sebelum ni. Tapi disebabkan ini juga la ia menjadi satu cabaran buat saya bangkit kerana minat terhadap sukan mengatasi segalanya,” katanya.

Harapan

Selain itu, Fatin Shahida yakin penglibatan lebih wanita dalam sukan itu kebelakangan ini – bukan lagi dilihat suatu kejanggalan – bakal melahirkan lebih ramai pemain berbakat, seterusnya mengharumkan nama negara.

“Pada saya, kaum wanita suatu ketika dahulu tidak diberi perhatian atau pendedahan. Disebabkan itu juga kita ketinggalan di belakang negara-negara Asean mahupun Asia,” katanya.

Namun, Fatin Shahida gembira berikutan semakin ramai wanita terutama golongan muda beraksi dalam bola sepak mahupun futsal.

Beliau berharap bakat baharu dicungkil segenap peringkat melalui penganjuran kejohanan besar khusus untuk wanita bagi memastikan mereka kekal aktif dalam sukan itu.

“Kini bola sepak dan futsal wanita, ramai yang ‘pandang’. Saya berharap pihak berwajib terus menaikkan sukan ini kerana kita mampu bersaing pada peringkat lebih tinggi,” katanya.

Beliau juga menasihati wanita yang mahu menceburi sukan itu secara serius mencari jurulatih bertauliah untuk membimbing mereka.

Profil

Nama: Fatin Shahida Azmi
Tarikh lahir: 10 Mei 1991
Asal: Johor
Hobi: melancong
Anak kelima dari tujuh adik beradik

Pencapaian

2011 – Sukma Selangor (Emas)

2011 – Karnival Bola Sepak Kebangsaan (KL) (Ketiga)

2012 – World Championship Futsal Portugal (Kumpulan)

2013 – Asian Indoor Games Korea (Kumpulan)

2013 – Sea Games (Gangsa)

2017 – Sukan Sea Kuala Lumpur (Keempat)

2018 – AFC Women Championship (Kumpulan)

 


Pengarang :