AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Saringan Komuniti percuma di Subang Perdana hari ini

SHAH ALAM 6 MAC: Program Saringan Komuniti Covid-19 anjuran Kerajaan Negeri berlangsung hari ini di Dewan Resak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Subang Perdana, di sini.

Saringan bersasar secara percuma menumpukan penduduk berhampiran Taman Subang Perdana, Taman Nusa Subang, Taman Pinggiran Subang dan Taman Subang Idaman.

Seramai 35 petugas kesihatan Klinik Selcare lengkap mengenakan sut perlindungan diri memulakan proses saringan pada jam 9 pagi hingga 4 petang.

Kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) digunakan untuk mengesan jangkitan Covid-19 dalam tempoh kurang 30 minit selain mereka yang hadir perlu mendaftar melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) dan menyukat suhu badan.

Lokasi saringan dikawal ketat anggota penguat kuasa Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Selain Dewan Resak MBSA, program saringan hari ini dijalankan serentak di Dewan Serbaguna Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Seri Kembangan.

Sebelum ini, saringan itu turut diadakan di Dewan MPSJ, Taman Puchong Indah dan Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) Taman Dato’ Harun Petaling Jaya.

Program sama juga diadakan di Dewan Serbaguna Pendamar Indah 2, Pelabuhan Klang dan Dewan Kenanga, Seksyen 28, Shah Alam.

Selain itu, di Dewan Seksyen 19 dan Seksyen 7 Shah Alam; Dewan Serbaguna Pandamaran Jaya, Klang; Dewan Komuniti PJS 6, Petaling Jaya; Stadium Sungai Besar, Sabak Bernam juga turut melaksana program sama.

Menerusi Pakej Kita Selangor, Kerajaan Negeri mengumumkan peruntukan RM6 juta untuk menjayakan ujian saringan bersasar percuma bagi membendung penularan wabak.

Program itu dijangka memanfaatkan 50,000 rakyat dengan tumpuan kepada golongan sasar seperti warga emas terutama di pusat penjagaan dan hemodialisis seluruh negeri termasuk kumpulan berpendapatan rendah (B40) serta mahasiswa anak Selangor.


Pengarang :