Petugas kesihatan membuat ujian calitan kepada orang ramai ketika Saringan Komuniti Covid-19 secara percuma di Dewan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) Taman Batu Tiga, Subang Jaya pada 13 Mac 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Selangor rekod 323 kes baharu Covid-19, satu kematian

SHAH ALAM, 16 MAC: Selangor melaporkan 323 kes baharu Covid-19 hari ini, turun berbanding 379 jangkitan semalam, kata ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata 284 kes dikesan daripada kluster sedia ada dan saringan kontak rapat yang aktif dijalankan di lapangan.

“Jumlah dilaporkan ini melibatkan 30.4 peratus daripada 1,063 kes direkodkan, diikuti Sarawak (183) dan Pulau Pinang (175),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan sama, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) memaklumkan 332 kes sembuh direkodkan di negeri itu dan satu kematian dilaporkan.

“Tambahan kes baharu hari ini menjadikan jumlah kes aktif di negeri ini ialah 1,815 dan jumlah pesakit sembuh 107,567 semuanya,” katanya di Facebook.

Secara keseluruhan, Malaysia mencatatkan 1,063 kes baharu Covid-19 hari ini, terendah tahun ini.

Sebanyak lima kluster baharu dikenal pasti iaitu kluster Jalan Kampung Hilir, Nanga Bulo, Jalan Sanyan di Sarawak, Banggol Chicha di Kelantan dan Jalan Taiping di Kuala Lumpur.

“Kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah 152 dan 68 memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.


Pengarang :