Masjid Istana Diraja yang terletak dalam pekarangan Istana Alam Shah di Klang. Foto Facebook Selangor Royal Office
BERITA UTAMASELANGOR

Sultan seru umat Islam istiqamah tunai solat

SHAH ALAM, 12 MAC: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor menyeru umat Islam istiqamah melaksanakan ibadat solat yang diperintahkan melalui Israk dan Mikraj.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah Allah SWT mengurniakan ganjaran istimewa kepada mereka yang sentiasa menjaga solat iaitu syurga Firdaus.

“Nikmat paling istimewa diterima Rasulullah SAW pada malam yang penuh barakah itu ialah ibadat solat. Ibadat tersebut dapat menjalin perhubungan erat antara hamba dengan penciptaNya.

“Solat merupakan detik-detik munajat dan penumpuan diri sepenuhnya kepada Allah SWT,” titah baginda menerusi kenyataan di Facebook Selangor Royal Office.

Baginda bertitah solat itu penting sehingga diangkat sebagai rukun Islam yang kedua selepas mengucap dua kalimah syahadat.

“Lantaran itu, maka sewajarnya solat itu bersifat sempurna, tersisih daripada alam kebendaan, alam nafsu dan syahwat dan alam fitnah,” katanya.

Baginda turut menyeru umat Islam menghayati saranan melalui khutbah Jumaat Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) hari ini berhubung Israk dan Mikraj.

1. Umat Islam wajib meyakini bahawa peristiwa Israk dan Mikraj berlaku kepada Nabi Muhammad SAW dengan roh dan jasad.

2. Umat Islam hendaklah istiqamah melaksanakan ibadat solat yang merupakan perintah Allah SWT melalui Israk dan Mikraj.

3. Umat Islam hendaklah mengetahui bahawa Israk dan Mikraj adalah perkara ghaib yang tidak boleh dipertikai melalui akal manusia.


Pengarang :