Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) bergambar bersama penerima pada Majlis Penyerahan Surat Tawaran Biasiswa Khas Dato’ Menteri Besar dan Biasiswa Selangor Bitara di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 31 Mac 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Taja pelajar pelbagai peringkat, lonjak taraf pendidikan

SHAH ALAM, 31 MAC: Selangor antara negeri terbaik yang menawarkan biasiswa pendidikan bermula dari peringkat sekolah menengah hingga pengajian tinggi.

Dato’ Menteri Besar berkata usaha itu bagi meningkatkan taraf pendidikan rakyat termasuk pelajar dari keluarga kurang berkemampuan, seiring slogan Maju Bersama.

“Sebelum ini biasiswa banyak diberikan kepada pengajian ijazah lanjutan atau doktor falsafah namun pendekatan ini diubah dengan menumpukan pelajar menengah.

“Kita perlu kenal pasti kelompok pelajar berpotensi untuk dibantu sekali gus melahirkan pelapis yang bakal memimpin negeri dan menduduki jawatan penting di anak syarikat,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau ditemui selepas menyampaikan Biasiswa Selangor Bitara (Bitara) berjumlah RM1.1 juta dan Biasiswa Khas Dato’ Menteri Besar berjumlah RM450,000 kepada pelajar terpilih di bangunan rasmi pentadbiran Kerajaan Negeri di sini.

Tabung Kumpulan Wang Biasiswa Negeri Selangor menawarkan tujuh jenis pembiayaan merangkumi Biasiswa Khas Dato’ Menteri Besar, Bitara, Pinjaman Boleh Ubah Dalam Negara dan Pinjaman Boleh Ubah Luar Negara.

Turut disediakan Program Khas Kakitangan Awam Selangor, Program Khas Biasiswa Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor dan Biasiswa Sagong Tasi (khas untuk anak Orang Asal yang mendapat tawaran melanjutkan pengajian).

Selain itu Kerajaan Negeri menerusi Yayasan Selangor menawarkan biasiswa antara RM700 hingga RM1,000 setahun kepada 420 pelajar tingkatan satu bagi Program Rancangan Khas Pendidikan 2021.

Universiti Selangor (Unisel) pula menawarkan Biasiswa Bestari (yuran percuma semester pertama) yang membantu pelajar melanjutkan pengajian untuk program diploma dan ijazah sarjana muda.


Pengarang :