Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap ketika Majlis Peluncuran Buku 100 Esei Seni & Sastera Era Reformasi 2008-2011 di Institut Darul Ehsan, Shah Alam pada 29 Disember 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Tanpa sidang Parlimen, lulus belanjawan tidak etika

SHAH ALAM, 31 MAC: Ketua pembangkang membantah keras usaha kerajaan Perikatan Nasional meluluskan belanjawan tambahan tanpa sokongan wakil rakyat melalui sidang Parlimen.

“Saya menentang langkah ini. Saya merasakan ia cukup tidak beretika dan tidak bertanggungjawab. Reputasi negara sangat memprihatinkan saat ini, dan ia pasti akan terus menghakis keyakinan pada ekonomi kita,” kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam kenyataan hari ini, Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) menegaskan tiada keperluan Putrajaya melulus perbekalan tambahan setelah belanjawan 2021 diluluskan hujung tahun lepas.

“Tidak ada sebarang sebab untuk pemerintah ini bertindak sebegini. Belanjawan 2021 diluluskan kurang dari empat bulan dulu yang memperuntukkan dana yang cukup bagi menghadapi Covid-19.

“Sebarang dana tambahan (sepatutnya) diluluskan oleh Parlimen dengan majoriti yang jelas dan berkemungkinan akan mendapat dukungan kedua-dua belah pihak sekiranya ia munasabah,” tambahnya.

Anwar mengulangi gesaan barisan pembangkang agar Dewan Rakyat dibuka semula bagi membolehkan ahli-ahlinya menjalankan tanggungjawab mereka menyemak pentadbiran kerajaan.

Perdana menteri, menteri besar dan ketua menteri boleh meluluskan perbelanjaan tambahan atau menggunakan Kumpulan Wang Disatukan tanpa kelulusan wakil rakyat sepanjang tempoh darurat yang sedang berjalan.

Perkara itu diperkenalkan dalam Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 dengan memasukkan dua seksyen baharu, iaitu Seksyen 10a dan 10b.

Seksyen tersebut menggantung Perenggan 4(b) Akta Pendanaan Kerajaan 1983 dan Perenggan 2(2)(b) Akta Bil Perbendaharaan (Tempatan) 1946 yang berkaitan kuasa Dewan Rakyat berbahas soal kewangan.


Pengarang :