Penumpang beratur untuk mengimbas kod QR MySejahtera sebelum menaiki Bas Smart Selangor di Hentian Bas Seksyen 13, Shah Alam pada 5 Mac 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Warga asing akur Bas Smart Selangor kenakan tambang 90 sen

SHAH ALAM, 6 MAC: Penumpang Bas Smart Selangor warga asing tidak menganggap caj 90 sen yang dikenakan bermula 15 Mac sebagai beban, sebaliknya melihat bayaran itu untuk kemudahan mereka pada masa akan datang.

Pekerja pembersihan, Usmatum Hasanah, 36, berkata mereka memahami langkah diambil Kerajaan Selangor namun berharap tambang berkenaan tidak dinaikkan lebih tinggi.

“Harga ini berpatutan berbanding pengangkutan lain, kami masih mampu membayarnya. Sepanjang menaiki bas, tiada lagi masalah besar timbul dan kami sangat hargainya,” katanya kepada SelangorKini.

Warga Indonesia yang mahu dikenali sebagai Iis

Warga Indonesia yang mahu dikenali sebagai Iis, 39, pula berkata caj serendah 90 sen itu tidak akan membebankan dirinya meskipun terpaksa membayar setiap hari untuk ke tempat kerja.

“Saya menjadi penumpang bas ini hampir dua tahun secara percuma. Jadi bila dikenakan caj selepas ini, saya tidak marah dan harap kualiti perkhidmatan akan bertambah baik,” katanya.

Sementara itu, warga Bangladesh Mohamed Zahan, 32, berharap majikan akan membayar kos tambang itu memandangkan dia perlu mengeluarkan kira-kira RM60 sebulan bagi aspek pengangkutan.

Mohamed Zahan

“Saya faham tindakan ini dibuat. Bagaimanapun jumlah RM2 sehari untuk saya pergi ke tempat kerja dari Subang Jaya ke Shah Alam setiap hari dilihat tinggi dan berharap majikan akan menyediakan peruntukan,” katanya.

Mulai 15 Mac, penumpang warga asing berusia 18 hingga 59 tahun akan dicaj 90 sen bagi menampung sebahagian kos diperlukan Kerajaan Negeri dalam menyediakan kemudahan terbaik kepada orang awam.

EXCO Pengangkutan Ng Sze Han berkata langkah itu bukan untuk menindas golongan terbabit sebaliknya untuk mengekalkan perkhidmatan untuk tempoh lebih panjang.


Pengarang :