AGENDANASIONAL

Warga emas, pesakit kronik dan OKU diminta daftar program vaksin

SHAH ALAM, 18 MAC: Warga emas, pesakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi dan jantung serta orang kelainan upaya (OKU) antara penerima suntikan vaksin Covid-19 fasa dua.

Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) berkata golongan itu perlu menerima vaksin kerana berisiko tinggi mengalami komplikasi teruk sehingga menyebabkan kematian sekiranya dijangkiti.

“Oleh itu, jangan lupa untuk mendaftar untuk suntikan vaksin melalui saluran yang disediakan oleh kerajaan,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Fasa kedua suntikan vaksin dijadual bermula bulan depan hingga Ogos khusus untuk warga emas berumur 65 tahun ke atas, golongan berisiko tinggi serta OKU.

Kerajaan menyediakan lima kaedah pendaftaran suntikan vaksin secara dalam talian atau manual.

Menurut Buku Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, dua kaedah secara dalam talian adalah pendaftaran melalui aplikasi MySejahtera atau laman web khas di http://www.vaksincovid.gov.my.

Pendaftaran secara manual pula menerusi talian disediakan, hadir ke klinik kesihatan awam dan swasta atau menerusi program bantuan penduduk di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Maklumat janji temu seperti tarikh dan tempat vaksinasi akan dimaklumkan menerusi aplikasi MySejahtera, panggilan telefon atau khidmat pesanan ringkas.


Pengarang :