Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari memotong riben bagi menyempurnakan perasmian butik platform beli belah dalam talian Bazaarlokal dan Festival Ramadan Selangor 2021 (Festira’21) di SACC Mall, Shah Alam pada 2 April 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Festival Ramadan dalam talian tarik perhatian pengunjung luar Selangor

SHAH ALAM, 29 APRIL: Festival Ramadan Selangor (Festira) secara dalam talian menerusi http://BazaarLokal.com menarik perhatian penduduk luar Selangor.

Pemangku pengurus pusat Kompleks PKNS Shah Alam & SACC Mall, PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) berkata kaedah penjualan secara maya memudahkan penduduk negeri lain membeli serta mendapatkan barangan keperluan di festival itu.

“Kebanyakan yang sertai BazaarLokal.com adalah pengunjung setia Festira. Namun, memandangkan perintah larangan rentas negeri dikuatkuasakan, mereka tidak dapat berkunjung.

“Jadi, menerusi BazaarLokal.com mereka masih boleh membeli keperluan mereka dan secara tidak langsung ia membantu peniaga,” kata Syahril Mohd Rashid kepada SelangorKini.

Menurutnya, peniaga di BazaarLokal.com mendapat pengalaman serta ilmu baharu sepanjang menyertai festival berkenaan.

“Menerusi kerjasama Lazada serta Unit Perancang Ekonomi Negeri (Upen), kita bantu peniaga mengenai strategi pemasaran sekali gus membantu mereka meraih pendapatan,” katanya.

Selain BazaarLokal.com, festival secara fizikal turut dianjurkan di Kompleks PKNS Shah Alam dan Bangi serta SACC Mall sejak 26 Mac lalu hingga 12 Mei depan.

 


Pengarang :