Pekerja memeriksa kualiti sarung tangan yang dihasilkan sebelum dipasarkan ke luar dan dalam negara ketika tinjauan di Kilang Top Glove di Meru Klang pada 26 Ogos 2020. Foto: BERNAMA
AGENDANASIONAL

Indeks keluaran industri naik 1.5 peratus pada Februari 2021

KUALA LUMPUR, 9 APRIL: Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia berkembang 1.5 peratus tahun ke tahun pada bulan Februari 2021, dipacu oleh peningkatan 4.5 peratus dalam indeks pembuatan, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin bagaimanapun berkata indeks perlombongan dan elektrik, masing-masing menguncup 6.0 peratus dan 5.8 peratus.

Output sektor pembuatan pula berdasarkan perbandingan tahun ke tahun meningkat 4.5 peratus pada bulan Februari 2021, tambahnya.

“Subsektor utama yang menyumbang kepada kenaikan sektor pembuatan pada bulan Februari 2021 adalah produk peralatan elektrik dan elektronik (10.3 peratus), produk petroleum, kima, getah dan plastik (8.9 peratus) dan kelengkapan pengangkutan dan pembuatan lain (3.2 peratus),” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menambah industri berorientasikan eksport menyumbang kepada pertumbuhan sektor pembuatan sebanyak 5.8 peratus manakala industri berorientasikan domestik meningkat 1.8 peratus

Sementara itu, Mohd Uzir berkata output sektor perlombongan menguncup 6.0 peratus pada bulan Februari 2021 berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya, disebabkan oleh penurunan dalam indeks minyak mentah dan kondensat (-11.5 peratus) serta indeks gas asli (-1.6 peratus).

Output sektor elektrik menyusut 5.8 peratus pada bulan Februari 2021 berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya.

– BERNAMA


Pengarang :