Banjir lumpur dan tanah runtuh di Kabupaten Flores Timur di Nusa Tenggara Timur, Indonesia pada 4 Mac 2021 menyebabkan ramai terkorban dan hilang. Foto: REUTERS
AGENDAGLOBAL

Jumlah kematian insiden banjir lumpur di Indonesia meningkat

JAKARTA, 5 APRIL: Bencana banjir lumpur, tanah runtuh dan angin kencang akibat Badai Seroja di Flores Timur di Nusa Tenggara Timur, Indonesia, sehingga malam ini disahkan meningkat kepada 84 orang.

Jumlah kematian dikhuatiri terus meningkat berikutan masih ramai mangsa dilaporakan hilang dan dipercayai masih tertimbus dalam runtuhan tanah dan tertimbus banjir lumpur.

Ketua Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia, Doni Monardo dalam sidang media menerusi webinar malam ini berkata pasukan pencari dan penyelamat yang mula memasuki kawasan kejadian hari ini, sedang mengesan mangsa dan penduduk yang masih terperangkap dalam timbunan runtuhan tanah dan timbunan lumpur akibat banjir.

Cuaca ekstrem sejak tiga hari lepas itu turut menyebabkan lebih 700 rumah penduduk direkodkan musnah setakat ini, pokok-pokok tumbang dan kerosakan teruk kemudahan awam, serta terputusnya bekalan elektrik dan komunikasi.

Doni berkata pihak berkuasa masih melakukan pendataan, dan berdasarkan pendataan setakat 8 malam ini, seramai 84 orang disahkan terkorban, manakala 71 lagi dilaporkan masih hilang.

Sebanyak 10 kabupaten terbabit dalam bencana itu iaitu Flores Timur, Malaka Tengah, Lembata, Ngada, Akar, Sumba Timur, Rote Ndao, Sabu Raijua, Timur Tengah Selatan dan Ende, serta sebuah kota iaitu Kota Kupang, terjejas teruk akibat Badai Seroja.

Presiden Indonesia Joko Widodo dalam siaran media menerusi Youtube rasmi Sekretariat Presiden hari ini, mengarahkan seluruh agensi bantuan termasuk polis dan tentera, segera ke lokasi, mencari dan menyelamat, serta menempatkan penduduk terbabit ke kawasan yang lebih selamat.

– BERNAMA


Pengarang :