Pengarah Eksekutif Selgate Healthcare Noor Hisham Mohd Ghouth (tiga dari kanan) bersama Naib Canselor International Medical University Prof Abdul Aziz Baba selepas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di Bukit Jalil pada 13 April 2021. Foto Selgate Healthcare
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kerjasama Selgate-IMU tambah pekerja mahir bidang kesihatan

SHAH ALAM, 13 APRIL: Selgate Healthcare Sdn Bhd (Selgate Healthcare) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama International Medical University (IMU) bagi melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir dalam bidang kesihatan dan mengurangkan pengangguran.

Pengarah eksekutif Selgate Healthcare berkata usaha ini akan memanfaatkan graduan lepasan institut pengajian awam dan swasta terutama yang masih belum bekerja mendapat latihan daripada universiti itu  serta ke dunia pekerjaan sebagai “Pembantu Perubatan untuk Jururawat dan Penjagaan Warga Emas”.

“Kerjasama sinergi akan diterajui terutamanya dalam bidang pembangunan modal insan, penglibatan komuniti dan kerjasama industri. Ia dapat mengurangkan kadar pengangguran graduan serta membantu meningkatkan ekonomi khususnya dalam industri kesihatan,” kata Noor Hisham Mohd Ghouth dalam kenyataan semalam.

Beliau menjelaskan menerusi MoU ini juga Selcare Nursing akan mendapat graduan terlatih untuk berkhidmat di dalam bidang berkaitan pada masa akan datang.

Sementara itu, Naib Canselor IMU Prof Abdul Aziz Baba menyifatkan kerjasama ini tepat pada masanya di saat perkembangan pantas teknologi melibatkan bidang kesihatan.

“Industri penjagaan kesihatan berubah dengan pantas dengan perkembangan teknologi. Menerusi kolaborasi ini kami dapat melengkap dan meningkatkan kemahiran tenaga kerja hari ini dan esok dengan keupayaan yang relevan untuk memenuhi permintaan industri, ”katanya.

Majlis MoU itu turut dihadiri Pro Naib Canselor, Perhubungan dan Rakan Industri IMU, Prof Toh Chooi Gait serta Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Selgate Healthcare, Dr Nurul Mu’az Omar.


Pengarang :