Pemangku Datuk Bandar Shah Alam, Mohd Rashidi Ruslan (tiga dari kanan) melancarkan aplikasi pemeriksaan kebersihan kendiri premis makanan berlesen (i-GRED). Foto MBSA
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

MBSA lancar aplikasi periksa kebersihan kedai makan

SHAH ALAM, 6 APRIL: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) melancarkan aplikasi pemeriksaan kebersihan kendiri premis makanan berlesen (i-GRED) dalam usaha memastikan restoran sentiasa bersih serta makanan selamat.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya berkata aplikasi itu melibatkan pemeriksaan bersepadu tiga pihak iaitu pengusaha premis, pelanggan dan pegawai pemeriksa majlis.

“Menerusi i-GRED, pengusaha premis perlu mendapatkan maklum balas 30 pengunjung berhubung kebersihan kedai mereka setiap bulan dan menghantar laporan berkenaan kepada MBSA.

“Langkah ini menggalakkan pemilik premis sentiasa peka terhadap tahap kebersihan kedai serta membolehkan penambahbaikan dibuat lebih cepat,” kata Shahrin Ahmad menerusi kenyataan hari ini.

Majlis pelancaran disempurnakan pemangku Datuk Bandar Shah Alam Mohd Rashidi Ruslan.

Jelas Shahrin, MBSA akan mempromosikan premis yang catat kebersihan cemerlang secara konsisten di portal serta laman sosial MBSA.

“Kita sasar 200 premis akan menggunakan aplikasi ini. Setakat ini sebahagian darinya telah menyatakan hasrat untuk menggunakan aplikasi ini.

“MBSA akan terus meningkatkan kesedaran dan ilmu pengetahuan kepada pengusaha premis makanan dan berharap penggunaan aplikasi ini membantu,” katanya.


Pengarang :