Datuk Seri Anwar Ibrahim. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Parlimen tidak berfungsi, boleh cetus skandal jika tiada semakan

SHAH ALAM, 6 APRIL: Datuk Seri Anwar Ibrahim bimbang kemungkinan negara dipalit skandal kewangan sekali lagi jika Parlimen terus digantung.

Ketua Pembangkang berkata Parlimen tidak berfungsi menghalang proses semak dan imbang berhubung beberapa keputusan Kementerian Kewangan yang menjurus ke arah tersebut.

“Sehingga sekarang Bank Negara Malaysia (BNM) belum memberi penjelasan terkait isu bayaran dibuat Jho Low kepada ahli keluarga mantan gabenor BNM.

“Selain itu, seorang pegawai bank yang dipercayai terlibat dalam skandal 1MDB dilantik sebagai Pengerusi Bank Pembangunan Malaysia Berhad,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Presiden KEADILAN juga mendakwa pegawai bank sama berusaha memperoleh saham besar berhubung penggalangan dana di AmBank melalui syarikat ekuiti swasta di Singapura.

Anwar berkata rakyat berhak tahu laporan terkini berhubung tindakan AmBank membayar sejumlah RM2.3 bilion untuk penyelesaian terkait kes 1MDB.

“Saya menggesa BNM melakukan penelitian bagi memastikan transaksi mengikut piawaian beretika dan cemerlang.

“Reputasi serta keupayaan Malaysia diragui pelabur serta institusi kewangan dalam dan luar negara kesan skandal 1MDB sekali gus dampak buruk kepada ekonomi yang tersedia parah kerana sikap dan kelaku kerajaan Perikatan Nasional (PN),” katanya.


Pengarang :