Dato’ Seri Amirudin Shari (kiri) menyerahkan sumbangan makanan secara pandu lalu kepada pemandu teksi dan bas sekolah menerusi Program Bingkisan Mesra Selangor di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 1 April 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

PBT sasar agih makanan kepada 7,900 pemandu teksi, bas

SHAH ALAM, 1 APRIL: Pihak berkuasa tempatan (PBT) bertindak sebagai pelaksana dalam agihan bakul makanan kepada 7,900 pemandu teksi dan bas negeri ini.

Dato’ Menteri Besar berkata sumbangan kepada individu yang terjejas pendapatan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali kedua diserah secara berperingkat mulai 3 April.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan fasa pertama agihan makanan asas bernilai RM100 bakal memanfaatkan 3,571 penerima di lapan PBT menjelang Ramadan.

“Agihan ini melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM1 juta yang dikendalikan kesemua PBT dengan kerjasama Yayasan Food Bank Malaysia sebagai pembekal bakul makanan,” katanya.

Dato’ Seri Amirudin Shari menyerahkan sumbangan makanan secara pandu lalu kepada pemandu teksi dan bas sekolah menerusi Program Bingkisan Mesra Selangor di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 1 April 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Beliau yang ditemui ketika melancarkan program tersebut di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini turut menyerahkan bantuan kepada 34 penerima sebagai simbolik.

Turut diserahkan kupon pembelian barangan asas di pasar raya 99 Speedmart kepada wakil Projek Perumahan Rakyat (PPR) seliaan Lembaga Perumahan Hartanah Selangor.

Fasa pertama agihan meliputi individu sekitar Majlis Perbandaran Selayang, Majlis Perbandaran Kajang, Majlis Perbandaran Klang dan Majlis Perbandaran Kuala Langat.

Selain itu, Majlis Perbandaran Sepang, Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Majlis Daerah Sabak Bernam dan Majlis Daerah Kuala Selangor.

Fasa kedua membabitkan Majlis Bandaraya Shah Alam, Majlis Bandaraya Subang Jaya, Majlis Bandaraya Petaling Jaya dan Majlis Daerah Hulu Selangor.

Menerusi Pakej Kita Selangor yang diumum 20 Januari susulan PKP, RM4.35 juta disediakan bagi menjayakan program Bakul Makanan untuk membantu golongan terjejas akibat wabak Covid-19.

Bantuan itu meliputi pemandu teksi dan bas, petugas barisan hadapan, penyewa PPR, warga tani dan pemandu lori KDEB Waste Management.

Bakul Makanan antara 20 inisiatif dalam pakej keseluruhan yang bernilai RM73.9 juta, turut meliputi pendidikan dan keusahawanan bagi membantu golongan memerlukan termasuk menggerakkan ekonomi.


Pengarang :