Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika Majlis Memeterai Kerjasama Program Pendidikan Sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-50 Yayasan Selangor di kediaman rasmi Dato’ Menteri Besar, Shah Alam pada 28 April 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Pendidikan robotik beri pelaburan modal insan berbaloi

SHAH ALAM, 29 APRIL: Pendidikan dalam bidang pengekodan dan robotik mampu memberi pelaburan modal insan berbaloi untuk manfaat jangka panjang negeri ini

Dato’ Menteri Besar berkata pendedahan berkaitan kecerdasan buatan dan data raya kepada pelajar berupaya melahirkan saintis serta teknokrat untuk mengisi kemajuan Selangor pada masa depan.

“Sesuai dengan dasar pendigitalan dan usaha Kerajaan Selangor melengkapkan prasarana digital serta capaian internet, saya yakin pendidikan dalam bidang ini akan memberi manfaat untuk negeri.

“Yayasan Selangor akan bekerjasama melaksana program pendidikan dan mudah-mudahan segala dirancang membuahkan hasil dalam usaha memberdaya insan seterusnya merealisasi wawasan negeri pintar,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis memeterai kerjasama program pendidikan sempena ulang tahun ke-50 Yayasan Selangor di kediaman Dato’ Menteri Besar di sini semalam.

Amirudin turut mengulangi harapan supaya Yayasan Selangor berfikir 100 tahun ke hadapan dan sentiasa berinovasi dalam melaksana program pendidikan.

“Sejak 50 tahun dulu, kita biasa dengar peranannya sebagai salah satu agensi Kerajaan Negeri yang menjadi wadah rakyat mendapatkan bantuan seperti biasiswa, pinjaman pelajaran serta kemasukan ke asrama.

“Justeru, kita menghargai peranan dilaksanakan selama ini malah mengakui ramai ahli profesional, korporat dan cerdik pandai dalam kalangan alumninya berjaya dilahirkan,” katanya.


Pengarang :