Selangorkini
Malaysia Airports Holdings Bhd menjelaskan video memasak di tempat terbuka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hanyalah gimik. Foto: Tangkap Layar Video
AGENDA NASIONAL

Video memasak di KLIA hanya gimik

SEPANG, 20 APRIL: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) menjelaskan bahawa video memasak di tempat terbuka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hanyalah gimik atau sekadar usaha promosi oleh salah satu gerai makanan dan minuman, Eraman Mini Cafe.

Dalam kenyataan hari ini, MAHB menegaskan bahawa memasak adalah dilarang di kawasan terbuka bangunan terminal seperti mana peraturan dalam Manual Keselamatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat Lapangan Terbang yang tidak membenarkan dapur api terbuka atau plat panas elektrik digunakan selain di dapur yang ditetapkan di dalam bangunan terminal.

“Kafe itu mengadakan gimik yang mensimulasikan memasak hidangan tradisional Melayu ‘gulai kawah’ dengan meletakkan kuali di atas dapur tanpa pembakar gas tetapi hanya dengan alat pemanasan menggunakan bahan bakar pemanasan hidangan yang dikenali sebagai gel Sterno.

“Semua hidangan dimasak dan disediakan di lokasi berasingan dan dibawa ke Eraman Mini Cafe menjelang waktu gerai dibuka,” menurut MAHB bagi mengulas video tular mengenai Bazar Ramadan yang memaparkan pengusaha gerai memasak di kawasan terbuka dalam bangunan terminal.

Pengendali lapangan terbang itu menjelaskan Eraman Mini Cafe telah beroperasi di Terminal 1 KLIA sejak Oktober tahun lepas dan kini menawarkan pengalaman seperti Bazar Ramadan untuk menarik lebih banyak pelanggan ke gerai tersebut.

Hidangan bufet itu ditempatkan di kawasan seluas 50 kaki x 50 kaki dan makanan yang dibeli dari Eraman Mini Cafe itu juga boleh dimakan dalam gerai itu sendiri, yang kini menawarkan kapasiti maksimum 55 orang pada satu masa.

Menurut MAHB, Eraman Mini Cafe mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan.

“Pemakaian pelitup muka diwajibkan dan setiap pelanggan diberi nombor untuk memastikan kapasiti maksimum kafe tidak dilanggar,” katanya.

MAHB mengurus dan mengendalikan 39 lapangan terbang di Malaysia dan satu lapangan terbang antarabangsa di Istanbul, Turki.

– BERNAMA

 


Pengarang :