AGENSISELANGOR

11 pelajar Unisel dihantar pulang sempena Aidilfitri

SHAH ALAM, 5 MEI: Seramai 11 pelajar Universiti Selangor (Unisel) dihantar pulang ke rumah masing-masing setelah kerajaan membenarkannya sempena cuti Aidilfitri.

Naib Presiden dan Timbalan Naib Canselor, Bahagian Pembangunan Pelajar dan Jaringan Komunitinya berkata ia membabitkan tujuh pelajar di Selangor manakala empat lagi di Sabah dan Sarawak.

“Jumlah ini amat sedikit kerana kampus masih dalam tempoh cuti semester, namun kesemua yang dihantar pulang sudah menjalani ujian Covid-19. Kita juga akan pastikan kesihatan mereka dalam keadaan baik,” kata Prof Madya Dr Hamdan Dato’ Mohd Salleh kepada SelangorKini.

Beliau berkata bagaimanapun masih terdapat 60 pelajar berada di kampus dan tidak pulang berhari raya.

“Walaupun begitu, kita tetap sediakan kemudahan untuk mereka seperti bekalan internet, makanan, perubatan, pengangkutan serta khidmat kaunseling.

“Malah, ada juga dari keluarga memerlukan dan mereka dapat bantuan Lembaga Zakat Selangor,” katanya.

Pada 29 April lalu, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dilaporkan membenarkan pelajar institusi pendidikan tinggi (IPT) yang berada di kampus pulang ke rumah masing-masing bersempena cuti Aidilfitri.

Pergerakan pelajar di setiap IPT akan dilaksanakan secara berfasa bagi memastikan ia terkawal, dengan tarikh pulang ke rumah masing-masing ditetapkan mulai 7 hingga 12 Mei manakala kembali ke kampus bermula 15 hingga 20 Mei.


Pengarang :