Petugas kesihatan menyediakan dos vaksin Covid-19 di Pusat Perubatan Sunway, Subang Jaya pada 12 Mac 2021. Foto REUTERS
AGENDANASIONAL

Badan bertindak siasat dakwaan vaksin tidak cukup dos

KUALA LUMPUR, 21 MEI: Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) sedang menyiasat secara terperinci berhubung dakwaan kes pemberian vaksin AstraZeneca kurang daripada dos yang sepatutnya, iaitu kurang daripada 0.5 mililitet (mL).

CITF dalam satu kenyataan memaklumkan insiden berkenaan didakwa berlaku di Pusat Pemberian Vaksin AstraZeneca (PPV AZ) World Trade Centre Kuala Lumpur kelmarin.

Menurut kenyataan itu, kedua-dua penerima vaksin yang terlibat dalam insiden itu telah dikenal pasti.

“CITF tidak akan teragak-agak mengambil tindakan kepada mereka yang tidak memenuhi mutu yang kami tetapkan atau melanggar sebarang peraturan,” katanya.

CITF turut menegaskan, pihaknya sentiasa mementingkan mutu perkhidmatan semua pakar perubatan yang terlibat di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan , termasuklah pakar perubatan swasta yang diuruskan oleh ProtectHealth Corporation Sdn Bhd yang terlibat dengan program imunisasi itu.

-BERNAMA

 


Pengarang :