AGENDANASIONAL

Bursa Malaysia dijangka alami dagangan berhati-hati minggu depan

KUALA LUMPUR, 1 MEI: Bursa Malaysia dijangka terus mengalami dagangan secara berhati-hati minggu depan memandangkan pelabur mungkin kekal tidak menyertai pasaran menjelang mesyuarat dasar Bank Negara Malaysia (BNM) pada Khamis depan.

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim berkata cakap-cakap dalam pasaran bahawa bank pusat diunjurkan mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) tidak berubah pada 1.75 peratus.

“Sektor yang terikat dengan OPR, iaitu perbankan dan kewangan, akan menjadi tumpuan pelabur. Bagaimanapun, pelabur mungkin telah menjangkakan OPR dikekalkan pada 1.75 peratus.

“Justeru, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dijangka didagangkan dalam jajaran kecil iaitu 1,600 hingga 1,610 mata minggu depan,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata selain itu, data Indeks Pengurus Pembelian (IPP) pembuatan bagi negara seperti Amerika Syarikat (AS), Kanada, Perancis, Jerman, India, Taiwan, Australia, Indonesia dan Malaysia akan dikeluarkan minggu depan.

“Data IPP pembuatan bagi April akan menunjukkan sama ada aktiviti pembuatan di negara seperti India akan sangat dipengaruhi oleh kenaikan ketara kes Covid-19 atau sebaliknya,” katanya.

Adam berkata usaha ke arah pemulihan ekonomi terus lembap, terutama disebabkan ketidaktentuan mengenai hala tuju pandemik Covid-19 dan keberkesanan program vaksinasi.

“Berdasarkan data daripada Our World In Data, dos harian vaksin Covid-19 yang diberikan kepada setiap 100 orang adalah lebih rendah berbanding negara serantau lain seperti Thailand dan Indonesia,” katanya.

Bagi dagangan yang berakhir minggu ini, bursa tempatan kebanyakannya mencatatkan prestasi rendah dengan penjualan berterusan di kaunter perladangan, penjagaan kesihatan serta barangan dan perkhidmatan pengguna.

Beliau berkata FBM KLCI susut 0.4 peratus kepada 1,601.7 mata pada Jumaat, sejajar dengan kebanyakan bursa serantau yang mencatatkan penurunan.

Walaupun AS mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar pada 6.4 peratus bagi suku pertama 2021, yang mendorong indeks S&P 500 merekodkan paras tertinggi sepanjang masa pada Khamis, namun sentimen kekal lemah, katanya.

Beliau berkata ini berikutan pengukur rasmi China bagi aktiviti perkilangan susut lebih rendah pada April meskipun kekal dalam lingkungan pengembangan disebabkan pengeluaran dan pesanan baharu kembali berkurangan.

“Selain itu, kes Covid-19 harian di India mencecah paras tertinggi iaitu 386,452 kes pada Jumaat,” katanya.

Berasaskan Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI yang menjadi penanda aras pasaran merosot 6.78 mata kepada 1,601.65 daripada 1,608.43 ketika ditutup pada minggu lepas.

Di papan indeks, FBM Emas turun 42.17 mata kepada 11,798.29; FBMT 100 kurang 41.90 mata kepada 11,450.16 dan FBM 70 susut 31.76 mata kepada 15,576.14.

FBM ACE melonjak 159.97 mata kepada 8,846.02 dan FBM Emas Syariah turun 35.19 mata kepada 13,272.50.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan naik 57.40 mata kepada 6,899.69; Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 103.98 mata kepada 14,870.25 manakala Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 3.22 mata kepada 199.36.

Indeks Penjagaan Kesihatan menambah 32.58 mata kepada 3,313.40; Indeks Tenaga turun 3.48 mata kepada 897.13 dan Indeks Teknologi kurang 1.76 mata kepada 85.76.

Jumlah dagangan susut kepada 28.82 bilion unit bernilai RM19.13 bilion daripada 38.76 bilion unit bernilai RM21.75 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama turun kepada 15.02 bilion saham bernilai RM14.38 bilion daripada 22.80 bilion saham bernilai RM16.47 bilion minggu lepas.

Jumlah dagangan waran merosot kepada 1.64 bilion unit bernilai RM177.03 juta daripada 2.03 bilion unit bernilai RM237.14 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE pula sebanyak 12.14 bilion saham bernilai RM3.56 bilion berbanding dengan 14.83 bilion saham bernilai RM5.05 bilion minggu lepas.

– BERNAMA


Pengarang :