Pesakit stroke, Khatijah Othman, 72, menjalani saringan di Dewan Jenjarum MBSA Seksyen 11 pada 27 Mei 2021
AGENSIBERITA UTAMAPILIHAN MINGGUANSELANGOR

Cucu manfaat cuti bawa nenek 72 tahun ke saringan percuma

SHAH ALAM, 28 MEI: Kesempatan berada di rumah susulan penutupan sekolah dimanfaat Rizz Zhariff Rustardza, 16, untuk membawa nenek yang uzur menjalani saringan Covid-19 di Dewan Jenjarum MBSA Seksyen 11 semalam.

Pelajar Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Ipoh, Perak itu hadir menyorong kerusi roda Khatijah Othman, 72, yang menghidap strok sejak 10 tahun lepas.

“Saya bersama ibu bapa dan adik mengambil inisiatif membawa nenek disebabkan kes jangkitan membabitkan warga emas membimbangkan.

“Apabila mendapat tahu ada program saringan percuma, saya mencadangkan kepada keluarga untuk datang,” katanya kepada SelangorKini semalam.

Bagi penghantar makanan, Muhammad Hamzah Abdullah, 31, berkata simptom sakit tekak dan selesema sejak empat hari lalu mendorongnya melakukan saringan.

“Pekerjaan sebagai penghantar makanan berisiko kerana sentiasa keluar masuk premis perniagaan dan kawasan perumahan bertemu pelanggan.

“Saya perlu lebih berhati-hati meskipun tiada bergejala dan meminta penghantar makanan manfaatkan saringan percuma ini,” katanya.

Rabiatul Adawwiyah Zainal Abidin, 28, bersyukur proses pengambilan sampel kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) untuk dua anak masing-masing berusia tiga dan satu tahun berjalan lancar.

“Alhamdulillah, petugas saringan cekap menguruskan peserta, hanya ambil masa kurang seminit dan anak-anak pun tidak menangis,” katanya yang turut membawa ibu bapa dan adik lelaki.


Pengarang :