EXCO Kerajaan Negeri Hee Loy Sian bercakap kepada media ketika Saringan Komuniti Covid-19 di Dewan Cempaka, Saujana Impian, Kajang pada 8 Mei 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

DUN Kajang kumpul maklumat mangsa banjir untuk bantuan

KAJANG, 9 MEI: Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang mengumpul maklumat individu yang menjadi mangsa banjir kilat di kawasan itu pada Rabu lalu.

Wakil rakyatnya, Hee Loy Sian berkata beliau difahamkan lebih 1,000 penduduk terbabit dan pihaknya sedang mengenal pasti untuk diberikan bantuan.

“Bantuan ini akan diberikan kepada mereka yang berpindah ke pusat pemindahan. Kita akan cadangkan kepada Kerajaan Negeri supaya memberi bantuan RM500.

“Walaupun nilainya tidak seberapa, diharap ia membantu mereka. Kita mungkin salur bantuan ini selepas raya,” katanya ketika meninjau program saringan Covid-19 di Dewan Cempaka, Saujana Impian semalam.

Pada 5 Mei lalu dilaporkan hujan lebat menyebabkan lima kawasan di Kajang iaitu Taman Sungai Jelak, Taman Kantan Permai, Jalan Cheras Batu 13, Kampung Sungai Ramal Baru dan Jalan Sungai Kantan dilanda banjir kilat.

Sementara itu, Loy Sian berkata bantuan bakul makanan bagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diteruskan dan mereka yang mempunyai maklumat berkaitan golongan memerlukan boleh memaklumkan pihaknya untuk tindakan lanjut.


Pengarang :