Chua Wei Kiat (kanan) menziarahi keluarga Nurul Ain Ali di Bandar Country Homes, Rawang pada 6 Mei 2021. Foto ihsan Chua Wei Kiat
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Empat beranak hidup susah dapat duit, keperluan asas

SHAH ALAM, 8 MEI: Nasib empat beranak yang ditimpa kesusahan selepas kehilangan ketua keluarga akibat kemalangan mendapat perhatian wakil rakyat Rawang.

Chua Wei Kiat yang menziarahi keluarga itu kelmarin menyerahkan bantuan wang tunai dan barangan asas bernilai RM2,600 hasil kutipan orang ramai.

Beliau berkata Nurul Ain Ali, 21, yang kematian suami dua tahun lalu tinggal bersama anak perempuan dan ibu bapanya di rumah sewa dengan kadar RM500 sebulan.

“Beberapa hari lepas saya menerima mesej daripada pengerusi Persatuan Penduduk Ebony (Kota Emerald) berkenaan sebuah keluarga yang menghadapi masalah pendapatan.

“Kemalangan tersebut menyebabkan suami (Ain) maut dan tangannya cedera. Kini, mereka hanya bergantung kepada ibu Ain yang bekerja di restoran dengan pendapatan RM25 sehari,” katanya.

Wei Kiat berkata pusat khidmatnya turut memberi sumbangan bulanan RM200 kepada wanita terbabit melalui program Kasih Ibu Smart Selangor (Kiss).

Pengerusi Persatuan Penduduk Ebony (Kota Emerald) Lee Loong Hin berkata usaha mengumpul dana digerakkan sejak 4 Mei selepas kerap menerima panggilan daripada keluarga tersebut.

“Saya cuba hubungi semula dan dijawab oleh ibu wanita berkenaan yang memaklumkan dia simpan nombor saya semasa mewakili wakil rakyat mengagihkan bantuan makanan tahun lalu.

“Jadi, saya terus bertanyakan jika ada keperluan tidak cukup. Diharap bantuan ini memberi keceriaan kepada mereka sekeluarga untuk menyambut hari raya tidak lama lagi,” katanya.


Pengarang :