Petugas Kesihatan Selcare mencalit sampel untuk dianalisis ketika Saringan Komuniti Covid-19 di Dewan Cempaka, Saujana Impian, Kajang pada 8 Mei 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Kes wabak negeri naik ketara dalam tempoh seminggu

SHAH ALAM, 9 MEI: Kes mingguan Covid-19 di Selangor mencatat peningkatan ketara hampir 1,000 kes dalam tempoh tujuh hari mulai 1 Mei.

Menurut Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC), sebanyak 7,380 kes direkodkan dalam tempoh berkenaan berbanding 6,398 kes pada 24 hingga 30 April.

Grafik dari Twitter STFC Selangor

“Sekiranya perkembangan ini tidak dipandang serius dan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) hanya sambil lewa sahaja, ia berpotensi memberi akibat tidak menyenangkan kepada ekosistem kesihatan serta ekonomi.

“Patuhi SOP dan sentiasa berpesan kepada keluarga, rakan-rakan serta orang sekeliling mengenai kepentingannya pada ketika ini,” kata pasukan itu menerusi Facebook.

STFC berkata situasi itu menyebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dibuat semula di enam daerah negeri ini bagi mengawal perebakan jangkitan Covid-19.

Jelas pasukan itu, kehadiran individu positif wabak di pusat beli-belah dan bazar turut menjadi pertimbangan melaksanakan perintah berkenaan.

“(Selain itu) bilangan katil unit rawatan rapi (ICU) yang boleh digunakan semakin terhad dan keadaan mencapai paras sangat kritikal,” kata STFC.

Hulu Langat, Petaling, Gombak, Klang, Kuala Langat dan Sepang dikenakan PKP berkuat kuasa dari 6 hingga 17 Mei berikutan kenaikan kes Covid-19.

Tiga daerah lain di Selangor iaitu Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Hulu Selangor pula kekal bawah PKP Bersyarat dalam tempoh sama.

 


Pengarang :