Petugas Kesihatan Selcare mengambil sampel calitan peserta Saringan Komuniti Covid-19 di Laman Sukan USJ 1, Subang Jaya pada 23 Mei 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Lebih 8,000 daftar saringan percuma di Subang Jaya

SUBANG JAYA, 23 MEI: Program Saringan Komuniti sekitar Subang Jaya menerima lebih 8,000 pradaftar melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah).

Wakil rakyat Subang Jaya berkata angka itu antara tertinggi dicatatkan berbanding lokasi lain sekali gus bukti kesedaran orang ramai makin meningkat.

“Program berjalan lancar dan terkawal memandangkan lokasi saringan dipantau 155 petugas terdiri daripada anggota penguat kuasa Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), polis dan sukarelawan.

“Kami berbesar hati atas bantuan MBSJ yang menyediakan tapak sebesar ini supaya ada ruang secukupnya untuk menempatkan khemah dan kerusi serta berbaris selamat,” kata Michelle Ng Mei Sze.

Beliau yang ditemui pada program saringan di Laman Sukan USJ 1 berkata lebih 2,000 individu hadir secara terus dan pandu lalu setakat jam 1 petang.

Michelle menambah ujian itu penting bagi mengesan lebih banyak kes selain memudahkan Kerajaan Negeri mengambil langkah seterusnya.

“Saya percaya, apabila Kerajaan Negeri melaksanakan saringan besar-besaran ini, angka jangkitan meningkat tetapi lebih baik untuk tahu keadaan sebenar daripada tidak tahu (kes).

“Kami akan berani menghadapinya, justeru saya menggalakkan orang ramai menyertai program saringan di DUN lain selepas ini,” katanya lagi.


Pengarang :