Dato’ Seri Amirudin Shari berucap merasmikan Webinar Pemikiran: Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim secara dalam talian anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) dan Persatuan Pendidikan Falsafah dan Pemikiran (PPFP) pada 31 Mei 2021.
BERITA UTAMASELANGOR

Golongan intelek bawa suara rakyat, idea kepada pemerintah

SHAH ALAM, 31 MEI: Golongan intelektual berperanan menyampaikan suara rakyat kepada pemerintah ketika negara berdepan pandemik Covid-19 dan ketidakstabilan politik, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pemimpin politik perlu bersikap terbuka menerima idea dikemukakan golongan tersebut untuk menyerasikan dengan keperluan rakyat.

“Pelbagai isu mutakhir menyebabkan rakyat terkapai-kapai mencari penjelasan serta jawapan, ada yang menganggap pemerintah tidak menjaga kebajikan mereka.

“Justeru pemimpin politik perlu bermuhasabah serta merenungi kekhilafan dan kegagalan,” katanya berucap merasmikan Webinar Pemikiran: Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim secara dalam talian hari ini.

Amirudin berkata penganjuran diskusi intelek perlu kerap diadakan bagi memberi peluang generasi memahami serta menyelami idea tokoh negara.

“Benarlah kata pepatah ‘harimau mati meninggalkan belang, manusia mati menginggalkan nama’. Selepas dua tahun mendiang meninggalkan kita, segala jasa dan baktinya tetap subur dalam ingatan,” katanya.

Program kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) dan Persatuan Pendidikan Falsafah dan Pemikiran (PPFP) menampilkan anak sulung mendiang yang juga Pengarah PUSAKA Eddin Khoo sebagai panel.

Panel lain Pensyarah Jabatan Sejarah Universiti Malaya Profesor Madya Dr Hamidin Abd Hamid, Ahli Majlis Diraja Johor Dr Kassim Thukiman, ahli ekonomi Profesor Dr Jomo Kwame Sundaram dan wakil Pengajian Teras Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS), Mohd Adib Akmal Ahmad Shatir

Sejarawan dan ahli akademik Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim, 82, meninggal dunia akibat jangkitan paru-paru pada 28 Mei tahun lepas.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah perkenan menamakan semula Jalan Semangat di Petaling Jaya kepada Jalan Profesor Khoo Kay Kim.


Pengarang :