AGENDASUKANKINI

Perancangan skuad Harimau Malaya tidak terjejas dengan PKP

KUALA LUMPUR, 6 MEI: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh Kuala Lumpur serta beberapa daerah dan mukim di Selangor, Terengganu, Johor dan Perak tidak mengganggu percaturan pasukan bola sepak kebangsaan membuat persediaan ke pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bermula 16 Mei ini.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Stuart Ramalingam yakin model Gelembung Sukan yang dilaksanakan skuad Harimau Malaya sama ada dalam aktiviti pasukan mahupun venue latihan adalah selamat, sehingga skuad berlepas ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 20 Mei depan.

“Tetapi dengan pengumuman baru ini, mungkin ada kekangan atau SOP (tatacara operasi piawai) berubah. Jadi kita akan memastikan semua arahan dan garis panduan yang diberikan (dipatuhi) dan pasukan kebangsaan tidak akan terganggu,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas majlis undian Liga M3 2021 dan pemeteraian perjanjian penajaan antara Liga Amatur Malaysia (AFL) dengan syarikat minuman tenaga terkenal dari Indonesia, Extra Joss, malam tadi.

Mengulas lanjut, Stuart berkata persediaan pihaknya untuk menghadapi kempen kelayakan itu berjalan lancar, namun hanya beberapa perkara berkaitan logistik dan venue latihan sedang dibincangkan dengan kerjasama baik daripada Persatuan Bola Sepak UAE.

Selain itu, katanya walaupun sudah hampir 18 bulan skuad kendalian Tan Cheng Hoe tidak beraksi dalam perlawanan kompetitif danhanya mengadakan kem latihan pusat sekali pada Mac lepas, pemain tetap bersemangat untuk mengharungi baki tiga aksi Kumpulan G serta tidak menjadikan Covid-19 alasan gagal mempamerkan aksi yang terbaik pada kempen itu.

“Maklum balas yang saya terima dari jurulatih Tan sangat positif, saya rasa pasukan kebangsaan yang tidak beraksi dan tidak bersama untuk tempoh yang agak lama, memberi satu sentimen dan semangat dalam pasukan yang agak luar biasa kali ini.

“Pemain sendiri meminta untuk berlatih lebih awal dan mahu bersama-sama pasukan lebih lama dan ia tidak pernah berlaku sebelum ini. Pada saya, kita harus lebih positif dan tidak membenarkan perkara-perkara negatif mengganggu tumpuan kita,” katanya.

Beliau turut mengesahkan bahawa skuad Harimau Malaya akan melengkapkan dos kedua vaksin Pfizer-BioNTech pada Isnin (10 Mei) ini sebagai persediaan ke UAE selepas memperoleh suntikan pertama, bulan lepas.

Mengenai hasrat Korea Utara yang mahu menarik dari daripada kelayakan Kumpulan H di Korea Selatan kerana kebimbangan terhadap penularan Covid-19, Stuart berkata beliau belum menerima keputusan rasmi daripada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

“Biarlah AFC yang membuat keputusan mengenai kedudukan dalam kumpulan dan slot ke pusingan ketiga nanti. Sekarang ini, kita tidak tahu sama ada keputusan Korea Utara itu akan memberikan impak negatif kepada kita, tetapi pasukan kebangsaan bersedia untuk mencapai keputusan terbaik di UAE,” katanya.

Selepas mengharungi dua aksi pemanas badan menentang Kuwait pada 23 Mei dan Bahrain (28 Mei), Malaysia akan menyambung kempen kelayakan yang tertangguh lebih setahun menentang UAE (3 Jun), diikuti Vietnam (11 Jun) dan Thailand (15 Jun) dalam aksi Kumpulan G.

– BERNAMA


Pengarang :