Selangorkini
Pelajar Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Azehan Helmi Wan Abdul Halim, 24, (kiri) bersama rakan kongsinya yang juga pelajar UMK, Imer Jibril Mohd Nasir, 24, menunjukkan perencah oden keluaran mereka ketika ditemui pemberita di kedai King Oden milik mereka di Jalan Salor Lama, Kelantan. Foto: BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Bermula kecil-kecilan, kini pes oden raih jualan enam angka

KOTA BHARU, 6 MEI: Bermula dengan berniaga secara kecil-kecilan menjual pes oden keluaran sendiri di tapak gerai kampus, dua pelajar Universiti Malaysia Kelantan (UMK) kini tersenyum lebar apabila hasil jualan yang diperoleh mereka sudah mencecah enam angka.

Lebih membanggakan, perniagaan produk perencah untuk makanan popular berasal dari Jepun yang diusahakan penuntut Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan Wan Azehan Helmi Wan Abdul Halim, 24, dan Imer Jibril Mohd Nasir, 24, sejak awal tahun lepas itu turut menembusi pasaran antarabangsa.

Wan Azehan Helmi berkata pada mulanya mereka hanya berniaga pes itu yang menggunakan resipi olahan sendiri dan disajikan bersama bebola ikan, isi ketam, sosej dan lain-lain, di gerai ketika berada di kampus.

“Idea untuk berniaga oden timbul apabila makanan tersebut seakan menjadi trend ketika itu dan digemari dalam kalangan pelajar, bagaimanapun penularan pandemik Covid-19 yang menyebabkan ketiadaan pelajar di kampus membuatkan kami terfikir untuk mengkomersialkan pes oden ini secara dalam talian pada April tahun lepas.

“Alhamdulillah, strategi pasaran dalam talian menerusi Facebook dan Instagram membuahkan kejayaan apabila kami mampu meraih hasil jualan sekitar RM500 dalam tempoh sebulan dan kini mencecah RM100,000,” katanya ketika ditemui pemberita di kedai King Oden miliknya di Jalan Salor Lama, di sini.

Bercerita lanjut, Wan Azehan Helmi berkata pada awal perniagaan, pes oden dengan jenama King Oden itu diproses secara manual di rumah, namun kini pemprosesan dilakukan di kilang mereka di Bachok yang beroperasi sejak Mac lepas.

“Pelbagai teknik pemasaran dan jualan kami lakukan, termasuk mengambil kira-kira 10 orang ejen yang terdiri daripada pelajar UMK bagi memberikan mereka pendapatan sampingan.

“Kini kami mempunyai 500 ejen di seluruh negara, malah pes oden ini juga turut mendapat permintaan daripada pelanggan di luar Malaysia termasuk di Indonesia,” kata penuntut tahun akhir itu.

Menurut Wan Azehan Helmi, mereka yang kini memiliki lapan pekerja, mampu mengeluarkan dan memasarkan kira-kira 30,000 hingga 40,000 pek pes oden sebulan yang ditawarkan dalam tiga perasa iaitu asli, lebih pedas dan asam laksa, berharga RM10 setiap pek dan boleh bertahan hingga lapan bulan.

“Kami berharap kejayaan yang dikecapi ini memberi inspirasi kepada lebih ramai lagi pelajar di luar sana untuk menceburi bidang perniagaan dan keusahawanan,” katanya yang menyasarkan hasil jualan RM1 juta menjelang akhir tahun ini.

– BERNAMA

 


Pengarang :