Orang ramai perlu membuat pendaftaran sebelum melakukan ujian calitan Saringan Komuniti Covid-19 di Dewan Orang Ramai Kampung Baru Balakong, Cheras pada 8 Mei 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Saringan Komuniti empat DUN kesan 227 individu positif Covid-19

SHAH ALAM, 10 MEI: Program saringan Covid-19 secara percuma anjuran Kerajaan Selangor di empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) berjaya mengesan 227 individu positif wabak.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata keputusan berkenaan hasil saringan ke atas 4,429 penduduk di Balakong, Semenyih, Kajang dan Sungai Ramal.

Sehubungan itu, Amirudin berkata program berkenaan akan diteruskan bagi melindungi rakyat dan memutuskan rantai Covid-19.

“Saringan komuniti bersasar Covid-19 adalah inisiatif Kerajaan Negeri melindungi rakyat sekali gus memutuskan rantaian pandemik.

“Jangkitan awal dapat dikenal pasti dan rawatan susulan dapat diberikan dengan sewajarnya kepada individu yang positif,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Selangor menjalankan program pengawasan Covid-19 secara aktif melalui saringan percuma di seluruh 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) bermula 8 Mei hingga 10 Jun.

Saringan dimulakan di DUN Kajang dan Semenyih pada Sabtu kemudian diteruskan di Sungai Ramal dan Balakong semalam.

Hari ini, saringan diadakan di Dusun Tua dan Teratai.

Pendaftaran saringan percuma boleh dibuat menerusi aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah), klik butang sihat dan guna fungsi saringan atau layari http://screening.selangkah.my.

Sebelum ini, EXCO kesihatan, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, 80 peratus jangkitan Covid-19 di negeri itu melibatkan individu tidak bergejala.

Justeru, penduduk Selangor diminta kekal di rumah sekiranya tiada urusan penting bagi melandai keluk penularan wabak.


Pengarang :