Petugas kesihatan menjalankan ujian dari rumah ke rumah bagi mengesan lebih banyak kes positif Covid-19 di Selangor pada 12 April 2020 Foto Tweeter Dato’ Menteri Besar
BERITA UTAMASELANGOR

Selangor pertimbang saring rumah ke rumah jika cukup petugas

SHAH ALAM, 24 MEI: Selangor mungkin melaksanakan Saringan Komuniti Covid-19 dari rumah ke rumah seperti ketika awal perebakan pada tahun lepas sekiranya mempunyai bilangan petugas yang mencukupi.

Dato’ Menteri Besar berkata cadangan itu susulan kebimbangan orang ramai terdapat ‘pembawa senyap’ virus yang hadir ke pusat saringan terutama di lokasi berisiko tinggi.

“Kita sedang memperkemaskan kaedah saringan tetapi kalau sebut saringan rumah ke rumah, mungkin kita memerlukan pasukan lebih besar.

“Setakat ini Kerajaan Negeri meneruskan saringan secara percuma di lokasi yang sudah ditetapkan,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Pelancaran Kempen Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin di Kediaman Rasmi Menteri Besar Selangor di sini.

Beliau turut menjangkakan bilangan peserta Saringan Komuniti Covid-19 melebihi penetapan awal seramai 50,000 individu.

“Setakat hari ini lebih 30,000 individu sudah menjalani saringan meskipun baru diadakan di 20 daripada 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor,” katanya.

Pada April tahun lepas Selangor menjadi negeri pertama menjalankan saringan rumah ke rumah ketika awal perebakan Covid-19 di negara ini.

Seramai 649 individu di Hulu Langat menjalani saringan sepanjang dua hari bermula 11 April.


Pengarang :