Selangorkini
Dato’ Seri Amirudin Shari melawat mesin membuat sarung tangan di Kilang Hartalega NCG, Sepang pada 24 Ogos 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Untung bersih Hartalega melonjak kepada RM2.89 bilion

KUALA LUMPUR, 4 MEI: Keuntungan bersih Hartalega Holdings Bhd melonjak 565 peratus kepada RM2.89 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac, 2021 berbanding RM433.62 juta setahun yang lepas.

Hasil meningkat 129 peratus kepada RM6.69 bilion daripada RM2.92 bilion, terutamanya disumbangkan oleh peningkatan purata harga jualan sarung tangan serta jumlah jualan.

Bagi suku keempat, keuntungan bersih naik 878 peratus kepada RM1.12 bilion daripada RM114.42 juta bagi tempoh yang sama tahun lepas, manakala hasil menokok 196 peratus kepada RM2.30 bilion daripada RM778.24 juta sebelumnya.

Dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia hari ini, Hartalega berkata kumpulan itu akan terus mengembangkan kapasitinya di Kompleks Pembuatan Sarung Tangan Bersepadu Generasi Akan Datang (NGC) di Sepang.

Sehingga kini, enam daripada 10 barisan di Kilang 7 telah beroperasi, dan sebaik beroperasi sepenuhnya, kilang itu akan mengeluarkan kapasiti tahunan sebanyak 2.7 bilion keping.

Selain itu, pembinaan bagi pengembangan akan datang, iaitu NGC 1.5, sedang berjalan dan kumpulan itu menyasarkan untuk memulakan operasi barisan pertamanya pada Disember 2021.

“Rancangan pengembangan NGC 1.5 termasuk tambahan empat kilang pengeluaran, yang akan menyumbang sebanyak 19 bilion keping kapasiti terpasang tahunan.

“Dengan rancangan pengembangan ini, kapasiti terpasang tahunan kumpulan ini dijangka meningkat kepada 63 bilion keping dalam dua hingga tiga tahun akan datang,” kata Hartalega.

Sementara itu, kumpulan itu juga telah memeterai perjanjian jual beli bagi pembelian kira-kira 101 hektar tanah di Bukit Kayu Hitam, Kedah.

Pembelian itu menandakan fasa baharu pertumbuhan Hartalega, dengan jumlah pelaburan berjumlah RM7 bilion bagi membina 16 buah kilang pembuatan yang baharu untuk 20 tahun akan datang.

Ditambah dengan pelaburan sebelum ini di Sepang (24 hektar) dan Banting (38 hektar), perolehan ini memungkinkan Hartalega merealisasikan rancangan pertumbuhan kapasitinya untuk mencapai 95 bilion keping menjelang 2027.

– BERNAMA


Pengarang :