BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Wahyu Braille, mudahkan OKU baca al-Quran (FOTO ESEI)

Naskhah al-Quran edisi tulisan Braille antara yang terawal di negara ini mengambil masa tiga hingga sembilan bulan untuk disiapkan pada 1999.

Melalui perkembangan pesat teknologi perkomputeran, sesebuah kitab suci edisi itu sekarang boleh disiapkan dalam masa hanya empat jam.

Teknologi ini memudahkan orang kelainan upaya (OKU) penglihatan mengaji al-Quran sepanjang Ramadan, bulan barakah yang digalakkan umat Islam bertadarus.

Sempena sambutan Nuzul al-Quran, wartawan AFIX REDZUAN dan jurufoto HAFIZ OTHMAN meninjau proses pembuatan al-Quran edisi Braille. Pembikinan teks Braille dijayakan KL Braille Resources di Gombak, pencetak tunggal di negara ini.

 

Noorhidayah Ibrahim, 33, menggunakan mesin pembesar huruf bagi membantu OKU penglihatan untuk membaca sebelum memindahkan teks kepada perisian khas

 

Beliau meneliti ayat al-Quran menggunakan perisian khas untuk menterjemah teks ke bentuk Braille. Penggunaannya mudah, manakala terjemahan pula tepat

 

Noorhidayah mengendalikan mesin pencetak Braille. Senaskhah al-Quran boleh disiapkan dalam tempoh empat jam. Mesin dari Sweden itu bernilai RM20,000 seunit

 

Penyunting Khusaini Saimon, 65, menyemak cetakan huruf Braille dengan merayapkan jari pada setiap helaian bagi mengesan kesalahan ayat, baris dan tanda baca

 

Liyana Abd Hamid, 29, menggunakan aplikasi suara dalam telefon sambil menyemak halaman surah yang siap dicetak

 

Pengasas KL Braille Resources Dato’ Mah Hassan Omar, 60, menunjukkan satu daripada enam jilid set lengkap al-Quran edisi Braille. Setiap jilid mengandungi lima juzuk

 

Braillet (kiri), berfungsi sebagai buku nota untuk OKU penglihatan menulis tulisan Braille di kertas khas. Papan pengatur huruf Braille (tengah) pula membantu individu yang baru disahkan ada masalah penglihatan mengenal huruf dan angka

 

Selain membaca al-Quran, dengan bantuan simbol Braille, individu hilang penglihatan juga boleh bermain dam ular, catur dan sudoku yang ada tanda khas untuk memudahkan mereka mengenal pasti gerakan

 

Huruf ditaip menggunakan mesin Braille. Tulisan itu terdiri daripada enam titik timbul yang dinomborkan dan digunakan dalam sesi pengajaran serta pembelajaran bagi murid berkeperluan khas (MBK)


Pengarang :