Tinjauan orang ramai di sekitar Jalan Tunku Abdul Rahman pada 17 April 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

69 peratus jangkitan Covid-19 bersifat sporadik, tidak bergejala

SHAH ALAM, 21 JUN: Sebanyak 69 peratus jangkitan Covid-19 di Malaysia antara 1 Januari hingga 19 Jun lalu bersifat sporadik dan tidak bergejala, kata ketua pengarah kesihatan.

Peratusan itu bersamaan 398,846 daripada keseluruhan 578,105 kes bagi tempoh berkenaan dengan Selangor mencatat 151,725 kes, Kuala Lumpur (44,517) serta Sarawak (40,889).

Menurut Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, pada minggu epid (ME) ke-24 iaitu antara 13 hingga 19 Jun, Lembah Klang merekod jumlah kes sporadik tertinggi.

“Walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang diumumkan pada 12 Mei lepas dilihat telah berjaya mengawal peningkatan kes kluster pada ME ke-24 (13 hingga 19 Jun), namun kes-kes sporadik masih tidak menunjukkan penurunan yang ketara,” katanya dalam kenyataan.

Kes sporadik bermaksud kes-kes yang dikesan di dalam komuniti dan tidak dapat dikaitkan dengan mana-mana kluster sedia ada.

Kes-kes sporadik dikesan melalui saringan di tempat kerja, saringan dalam komuniti, ataupun daripada saringan kes bergejala. Bagaimanapun, kebanyakan tidak bergejala tetapi masih boleh menjangkiti orang sekeliling.

Justeru, Dr Noor Hisham menyeru masyarakat mengamalkan tindakan kesihatan awam kendiri bagi mengelak peningkatan kes sporadik dan kes Covid-19 tidak bergejala.

Berikut tindakan kesihatan awam kendiri yang boleh diambil oleh masyarakat:

– Kekal duduk di rumah sekiranya tiada urusan penting di luar
– Sekiranya perlu keluar, patuhilah arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN)
– Optimakan penggunaan teknologi komunikasi untuk kekal berhubung dengan sahabat-sahabat dan sanak-saudara
– Gunakan perkhidmatan dalam talian membuat pembelian
– Jalani pemeriksaan segera sekiranya bergejala atau merupakan kontak kepada kes yang positif. Sekiranya didapati positif maklumkan kepada KKM melalui notifikasi kendiri di aplikasi MySejahtera atau Pejabat Kesihatan Daerah berdekatan. Bawa keputusan ujian dan hadir ke Covid-19 Assessment Centre (CAC) yang berdekatan untuk penilaian lanjut. Untuk senarai terkini CAC rujuk: http://covid19.moh.gov.my/hotline
– Sekiranya dibenarkan untuk menjalani Home Surveilance Order (HSO), patuhilah segala peraturan. Jangan bercampur dengan ahli keluarga atau keluar dari rumah dalam tempoh ini. Sekiranya kesihatan anda merosot, hubungi perkhidmatan kecemasan dengan segera
– Daftarkan diri anda dan ahli keluarga bagi mendapatkan vaksin Covid-19 sebagai langkah menyahut seruan kerajaan dalam membentuk imuniti kelompok.


Pengarang :