Ahli parlimen menghadiri Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen pada 2 November 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Anwar minta PM akur titah Agong, buka Parlimen segera

SHAH ALAM, 17 JUN: Ketua pembangkang meminta perdana menteri akur titah Yang di-Pertuan Agong yang menzahirkan pandangan persidangan Parlimen perlu diadakan dengan segara.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pandangan itu disuarakan setelah mendengar keluhan masyarakat dan majoriti pimpinan parti politik yang menuntut darurat dihentikan.

“Istana Negara terpaksa menyuarakan kerana ini keluhan masyarakat dan setelah mendengar majoriti parti, pimpinan parti politik yang menuntut darurat dihentikan dan Parlimen mengadakan sidang dengan kadar segera.

“Kalau kamu enggan, maka dengan cara terhormat kamu harus undur dan letak jawatan,” katanya menerusi siaran langsung di Facebook, malam tadi.

Menurut Ahli Parlimen Port Dickson itu juga, titah Raja-Raja Melayu mengenai tidak ada keperluan meletakkan negara di bawah pemerintahan darurat selepas 1 Ogos adalah kenyataan jelas.

“Bagi saya Jawatankuasa Khas Bebas Darurat dalam menasihati Agong boleh buat keputusan terus hentikan darurat sekarang atau selewatnya 1 Ogos… apa jawab perdana menteri?

“Beliau menyatakan telah sampaikan kepada Yang di-Pertuan Agong soal covid, ekonomi, Parlimen, darurat..setelah dengar ini semua Agong berpendapat dan memberikan pandangan dengan titah yang sedemikian maknanya tidak memuaskan,” katanya.

Semalam, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan Dewan Rakyat harus bersidang secepat mungkin selepas mempengerusi Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu.

 


Pengarang :