Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor menyita mainan kanak-kanak tanpa pelekat keselamatan di sebuah premis di Seri Kembangan pada 7 Mei 2021. Foto KPDNHEP
AGENSISELANGOR

Ingkar SOP niaga, KPDNHEP Selangor kompaun RM225,000

SHAH ALAM, 18 JUN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor mengeluarkan 72 kompaun bernilai RM225,000 kepada peniaga yang tidak mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh.

Pengarahnya berkata antara kesalahan gagal mengimbas kod QR MySejahtera dan cecair pembasmi kuman serta premis bukan disenaraikan perkhidmatan perlu dan tidak meletakkan pekerja di dobi layan diri yang dikesan dari 1 Jun hingga Rabu lalu.

“Kita ada keluarkan kompaun kepada peniaga kerana tidak menempatkan seorang pekerja di dobi layan diri mereka, sepatutnya ada yang berperanan memantau pematuhan SOP di kalangan pelanggan,” kata Muhamad Zikril Azan Abdullah ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, tindakan diambil di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Katanya, dalam tempoh sama pemeriksaan juga dibuat terhadap 9,739 premis bagi memantau penjualan barangan asas seperti beras, gula, tepung dan minyak masak.

“Sebanyak 35 kes dikesan dan sedang disiasat, kesalahan membabitkan tidak meletakkan tanda harga serta menjual melebihi harga kawalan.

“Kita berharap peniaga tidak mengambil kesempatan dan memastikan bekalan sentiasa mencukupi,” jelasnya.


Pengarang :