Orang ramai termasuk kanak-kanak menyertai Saringan Komuniti Covid-19 percuma anjuran Kerajaan Negeri di Dewan Serbaguna MBSA U5, Shah Alam pada 27 Mei 2021. Foto MOHAMMAD RAHEEMIE ARIFIN/ SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

KKM: 82,341 kes kanak-kanak positif Covid-19

SHAH ALAM 2 JUN: Sebanyak 82,341 kes Covid-19 membabitkan kanak-kanak dengan kumpulan individu berusia 13 hingga 17 tahun mencatat jumlah paling banyak iaitu 27,402 kes.

Mengikut data Kementerian Kesihatan (KKM) kumpulan kedua paling ramai ialah kanak-kanak berusia tujuh hingga 12 tahun dengan 26,851 orang, sebulan hingga empat tahun (19,851) dan lima hingga enam tahun (8,237).

Kesemua data itu direkod dalam tempoh 29 Januari tahun lalu sehingga 31 Mei lepas.

“Virus sudah berada dalam komuniti. Lindungi kanak-kanak. Patuhi semua tatacara operasi piawai (SOP) dan duduk di rumah,” maklum KKM di Facebook hari ini.

Peningkatan jangkitan wabak itu terhadap kanak-kanak berkemungkinan berkait dengan varian Covid-19 baharu yang disifatkan sebagai lebih ganas dan cepat tersebar.

Semalam, KKM memberi amaran hampir semua negeri melaporkan sekurang-kurangnya satu jenis varian membimbangkan (VOC) dengan penularan lebih meluas dalam komuniti dan mempunyai kadar kebolehjangkitan lebih tinggi.

Secara keseluruhan, terdapat 199 kes positif Covid-19 membabitkan 104 VOC iaitu B.1.135, B.1.1.7 dan B.1.167 selain baki 95 kes ialah varian mempunyai kepentingan (VOI) iaitu B.1.525 dan P.3 di seluruh negara, sehingga semalam.


Pengarang :