BUDAYARENCANA

Kreativiti kala krisis

Oleh Jaymani Sevanathan

Ilustrasi Matarojit

SAYA sudah lama ingin mengarang esei ini sejak menularnya pandemik Covid-19 tetapi usaha saya ternyata sering menemui kegagalan. Pada awalnya, saya mula rasa bersalah dan tertekan kerana tidak mampu menggunakan tempoh perintah berkurung sebaik mungkin. Artikel dan anekdot pula berselerakan dalam Internet, seakan-akan menghukum manusia untuk terus kreatif serta produktif sepanjang pandemik. Pertama, hujah King Lear. William Shakespeare dikatakan menulisnya ketika plag bubonik menular di Kota London pada awal abad ke-17. Kedua, Isaac Newton pernah melalui hari-hari penjarakan sosial pada tahun 1665 di mana akhirnya tahun itu muncul sebagai tahun keajaibaannya. Beliau menemui hukum graviti dan mencipta kalkulus. Kejayaan dua genius ini terus dimampat dalam fikiran masyarakat pelosok dunia untuk terus berdisiplin dalam menghasilkan sesuatu.

Pada masa sama, saya yakin hampir kesemua individu yang aktif dalam media sosial pernah berselisih dengan kalimat ini:

“Sekiranya anda tidak keluar daripada kuarantin ini dengan kemahiran baharu, memulakan sesuatu seperti perniagaan dan memperoleh lebih banyak pengetahuan; anda bukan ketiadaan masa tetapi kekurangan disiplin.”

Bukankah meningkatkan produktiviti dan kreativiti sepanjang pandemik hanyalah alasan untuk mengaburi fikiran manusia untuk terus mandiri dalam kapitalisme? Pencapaian atas nama produktiviti seolah-olah candu marhaen, untuk terus kuat dan mengikut aturan sistem. Kapitalisme semakin membinasakan pemikiran.

Pandemik memiskinkan

Saya mengeluh. Pandemik ini menjerumuskan masyarakat dalam kemiskinan, perang diri dan sebagainya. Punca pendapatan ghaib dalam sekelip mata. Longgokan bil tidak lekang menyapa. Not Ringgit menipis. Kadar pengangguran melonjak – saya tidak terkecuali. Kita menempuh laluan penuh ketidakpastian. Kita terbelenggu dalam kesuraman. Resah. Renyah. Panik. Terasing. Solitud ini berlaku dalam keadaan dipaksa, bukannya dipilih. Hari-hari kurungan penuh gelap dan kelam. Wabak mencengkam kita sedikit demi sedikit. Jadi, agak tidak masuk akal sekiranya kita mengharapkan petugas barisan hadapan contohnya, untuk melonjakkan lagi proses kreativiti mereka dalam situasi getir seperti ini. Ataupun individu yang baru sahaja kehilangan kerja.

Tetapi, lama kemudian saya terfikir. Bagaimana pula dengan pengkarya yang tetap memerlukan percikan kreatif di kala pandemik ini? Demi kelangsungan hidupnya. Tidak kira seorang pengarang, seniman, budayawan, pelukis atau siapa pun. Atau seorang insan biasa yang hanya ingin mengisi ruang-ruang kosongnya dengan berkarya sebagai satu eskapisme. Sebenarnya, agak mudah untuk kita menyimpulkan seorang pengkarya mampu menukangi idea dan imej yang difikirkannya dalam apa sahaja situasi yang dia berada – walau terkurung dalam empat penjuru dinding.

Seperti dikarang Rainer Maria Rilke kepada seorang penyair muda, Franz Xaver Kappus dalam surat pertamanya (17hb Februari 1903):

“…kerana bagi seorang pengkarya tidak wujud kemiskinan dan tidak ada tempat yang miskin dan menjemukan. Dan sekiranya saudara berada di dalam sebuah penjara pun, kalau dindingnya menghindarkan segala bunyi dunia dari sampai ke deriamu – bukankan saudara masih mempunyai zaman kanak-kanak, harta yang tidak ternilai itu, khazanah kenangan? Putarkan perhatianmu ke sana.”

Benar, saya percaya keindahan, kenangan manis, harapan dan cinta merupakan antara elemen signifikan dalam meningkatkan puncak kreativiti bagi sesebuah hasil seni. Namun, fikiran saya menerawang pula kepada kreativiti yang lahir dari trauma, tragedi, krisis, kehilangan atau penderitaan. Seorang mangsa Holokus yang terselamat, Viktor Frankl berbicara dalam bukunya, Man’s Search for Meaning (1946) – dalam beberapa hal, penderitaan tidak lagi menderita pada saat ia menemukan makna. Jadi, kreativiti adalah salah satu alat ampuh yang manusia miliki untuk mencari makna dan bertemu kesembuhan dalam apa jua keadaan.

Segera ia mengingatkan saya kepada sebuah istilah saintifik yang dicipta ahli psikologi, Richard Tedeschi dan Lawrence Calhoun pada tahun 90-an – pertumbuhan pasca trauma. Sekiranya diperhati, ramai pengkarya agung menghasilkan output kesenian mereka semasa atau selepas sesebuah tempoh penderitaan.

Misalnya, (1) Frida Kahlo yang menganggap lukisan adalah alat untuk mengatasi kesakitan fizikal dan emosi sepanjang hidupnya. Salah satu potret dirinya yang sangat terkenal, Henry Ford Hospital (1932) dilukis selepas keguguran bayi. (2) Paul Klee mencipta 1,200 karya hanya pada tahun 1939 sahaja setelah didiagnosis dengan penyakit autoimun. Kata beliau, “Saya melukis agar tidak menangis”. (3) Virginia Woolf mengarang To The Lighthouse (1927) akibat kepiluan selepas kematian ibunya. (4) John Milton mula menulis Paradise Lost (1667) ketika disahkan buta. (5) Karya lukisan terkenal, Starry Night (1889) Vincent van Gogh disiapkan sewaktu beliau melawan kemurungan akibat gangguan bipolar.

Pertumbuhan pasca trauma seakan-akan Kintsugi yakni seni Jepun untuk memperbaiki tembikar retak. Daripada menyembunyikan retakan, teknik ini melibatkan pencantuman kembali kepingan pecah dengan lakuer yang dicampur dengan serbuk emas, perak, atau platinum. Apabila disatukan kembali, keseluruhan tembikar kelihatan lebih menawan daripada rupa asalnya. Serupa juga dengan individu yang berjuang dalam penderitaan sehingga memaksa mereka untuk keluar dari ruang selesa. Mereka bereksperimen dengan kelahiran perasaan baharu sebelum mengekpresinya dengan kaedah seni. Akhirnya, mereka muncul sebagai pengkarya termasyhur.

Tidak dapat dinafikan, seni berusaha untuk memahami segala-galanya daripada momen terkecil sehinggalah tragedi paling mendukakan. Ia membantu kita memproses, memahami dan menerima perkara-perkara kompleks dalam kehidupan. Disebabkan itu, tragedi boleh memberi impak sangat mendalam sehingga memaksa kita untuk mencipta karya yang tidak pernah difikirkan sebelumnya.

Walau bagaimanapun, saya semakin sedar bahawa pertumbuhan kreativiti berlaku dalam keadaan yang tidak boleh dipaksa. Ia berkembang dari ruang dalaman diri yang terbuka luas untuk berkeliaran dan waktu yang panjang untuk bermimpi serta merenung. Berilah masa secukupnya untuk diri dan apabila minda sudah bersedia, kreativiti akan timbul secara semula jadi.

Barangkali sekarang kreativiti telah menjentik sanubari saya kerana berjaya menokhtahkan esei ini – setelah sekian lama bertarung dengan emosi akibat pandemik penuh celaka.

 

 


Pengarang :