Calon Kerajaan Perpaduan Pang Sock Tao mengedar risalah profil beliau kepada penduduk di Pasar Karat Batang Kali, Hulu Selangor pada 28 April 2024. Turut hadir Ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan dan Ahli Parlimen Bentong Young Syefura Othman. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Calon Kerajaan Perpaduan mahu kempen berhemah, damai, santuni pengundi KKB

HULU SELANGOR, 28 APRIL: Calon Kerajaan Perpaduan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) bangun jam 5.30 pagi sebagai persiapan bertemu pengundi.

Menurut Pang Sock Tao, 31, beliau tidak kisah tidur beberapa jam kerana fokus utama adalah untuk menyantuni semua lapisan masyarakat di Kuala Kubu Bharu.

“Saya bangun jam 5.30 pagi dan sarapan sebelum keluar rumah. Untuk mengekalkan stamina saya ambil makanan tambahan seperti Vitamin C.

“Setakat ini, penerimaan penduduk amat baik dan mereka banyak beri galakan dan tidak lupa memberi kata-kata semangat. Sokongan seperti ini amat penting dan menaikkan lagi semangat saya untuk bekerja keras,” katanya ditemui pada sesi walkabout di Pasar Karat Batang Kali di sini, hari ini.

Calon Kerajaan Perpaduan Pang Sock Tao bercakap kepada media selepas sesi walkabout di Pasar Karat Batang Kali, Hulu Selangor pada 28 April 2024. Turut hadir Ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan dan Ahli Parlimen Bentong Young Syefura Othman. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Terdahulu, Sock Tao diiringi Ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan dan Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman yang turut meluangkan masa bertemu pengundi di pasar pagi Batang Kali.

Pada sesi walkabout itu, Sock Tao bertembung dengan calon Perikatan Nasional Khairul Azhari Saut yang turut berkempen bagi PRK berkenaan.

Sock Tao dan Khairul Azhari sempat bertegur sapa, bergambar bersama sebelum masing-masing meneruskan aktiviti bertemu dan beramah mesra dengan penduduk di pasar berkenaan.

“Kita berkempen secara berhemah dan damai selain kekal bersemangat. Secara peribadi, saya berharap ini dapat dikekalkan sehingga kempen tamat,” katanya.

PRK DUN KKB diadakan susulan kematian Kee Hiong akibat barah pada 21 Mac lalu.

Menyaksikan pertandingan empat penjuru, Sock Tao dicabar Khairul Azhari (Perikatan Nasional), Hafizah Zainudin dari Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan Nyau Ke Xin (Bebas).

DUN tersebut mempunyai 40,226 pengundi terdiri 39,362 pengundi biasa, 625 anggota polis, 238 anggota tentera dan pasangan serta seorang tidak hadir luar negara.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK KKB pada 11 Mei ini, hari pengundian awal 7 Mei dengan tempoh berkempen selama 14 hari.

Calon Kerajaan Perpaduan Pang Sock Tao beramah mesra bersama peniaga di Pasar Karat Batang Kali, Hulu Selangor pada 28 April 2024. Turut hadir Ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan dan Ahli Parlimen Bentong Young Syefura Othman. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Pengarang :