Dr Muhammad Farhan Rosli
AGENSISELANGOR

Lebih 2,000 hadir saringan di Batang Kali dan Jeram, 65 disyaki positif

JERAM, 7 JUN : Seramai 65 daripada 2,616 peserta Saringan Komuniti percuma di Batang Kali dan Jeram disyaki positif Covid-19, kata pengarah Pasukan Petugas Operasi Selangor (STFO).

Dr Muhammad Farhan Rosli berkata saringan menggunakan kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) melibatkan 1,687 individu di Batang Kali mengesan 53 kes serta 931 (12) di Jeram.

“Kita berharap individu disyaki positif melakukan kuarantin kendiri dan patuh tatacara operasi piawai (SOP) meskipun tiada gejala atau tidak memakai gelang kuarantin,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Program Saringan Komuniti anjuran Kerajaan Negeri berlangsung di Dewan Komuniti Bukit Sentosa, Batang Kali dan Dewan Orang Ramai Kampung Bukit Kuching Tengah, Jeram bermula 9 pagi hingga 4 petang.

Semalam Dr Muhammad Farhan meminta individu disyaki positif tidak panik serta bersabar menunggu panggilan pejabat kesihatan daerah untuk untuk menjalani ujian pantas polimerase masa nyata (RT-PCR) bagi mengesahkan status jangkitan.

Selangor menjalankan program pengawasan Covid-19 secara aktif melalui saringan percuma di seluruh negeri mulai 8 Mei hingga 10 Jun.

Program bawah Fasa Mitigasi Wabak Pandemik Covid-19 memanfaatkan rakyat negeri ini yang berisiko, pernah menjadi kontak rapat, bergejala dan bimbang status kesihatan mereka.


Pengarang :