Nur Sazwani memegang komputer riba sumbangan Ahli Dewan Negeri Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah. Foto ihsan Ahli Dewan Negeri Seri Kembangan
ADNBERITA UTAMASELANGOR

PdPR: Enam beradik kongsi telefon pintar terima komputer riba ADN Seri Kembangan

SHAH ALAM, 7 JUN: Tiga pelajar dari keluarga kurang berkemampuan di Kelantan menerima komputer riba hasil sumbangan Ahli Dewan Negeri Seri Kembangan dan penyumbang lain semalam.

Antara penerima alat peranti hasil inisiatif Ean Yong Hian Wah itu, seorang pelajar dari Kampung Chengal, Kota Bharu, yang terpaksa berkongsi sebuah telefon pintar milik ibunya dengan lima beradik lain bagi mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), lapor Malaysiakini.

Sumbangan sama turut diterima dua pelajar dari Kampung Kuchelong, Bachok dan Kampung Keladang Beta, Kota Bharu. Hian Wah menerusi wakilnya di Kelantan sedang mengenal pasti seorang lagi penerima, menjadikan empat komputer riba disumbangkan.

Hian Wah berkata sebelum ini beliau berhasrat menyumbang komputer riba kepada empat pelajar di Ketereh yang dilaporkan sukar mengikuti PdPR kerana ketiadaan namun kesemuanya sudah menerima bantuan disampaikan Anggota Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim dan Anggota Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa.

“Saya minta rakan di Kelantan mencari pelajar lain di negeri itu yang memerlukan bantuan bagi menunaikan hasrat saya serta penyumbang yang berminat membantu. Kami mengumpul sumbangan kira-kira RM8,000 bagi membeli empat komputer riba berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sementara itu, Malaysiakini melaporkan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Nur Sazwani Yuhanis Sanadi, 18, berkata dia bersama lima adik-beradiknya sebelum ini berkongsi telefon milik ibu mereka untuk mengikuti PdPR.

“Adik beradik terpaksa bergilir-gilir untuk guna telefon dalam PdPR dan tunggu giliran untuk gunakan satu telefon itu. Kadang-kadang, proses hantar kerja sekolah terganggu, tapi mujurlah guru-guru memahami,” katanya.

 

 


Pengarang :