Kakitangan pusat khidmat membantu penduduk membuat pendaftaran vaksin ketika Program Kaunter Bergerak Pendaftaran Vaksin anjuran Pusat Khidmat DUN Bukit Melawati di Taman Senangin, Jeram, Kuala Selangor pada 18 Jun 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Warga emas daftar banyak kali, mahu diri divaksin

KUALA SELANGOR, 18 JUN: Meskipun sudah mendaftar di aplikasi MySejahtera, seorang warga emas tetap hadir ke program pendaftaran vaksin Covid-19 bergerak anjuran Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati hari ini.

Umaruddin Nuntah, 63, berkata ia bagi memastikan permohonannya diterima berikutan bimbang pendaftaran sebelum ini tidak diproses kerana sehingga kini masih tidak mendapat tarikh janji temu.

Umaruddin Nuntah. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Saya juga ada beri nama kepada pengurusan masjid kampung supaya dapat suntikan. Jiran dan kawan lain ramai yang sudah vaksin.

“Malam tadi anak di Kuala Lumpur maklumkan ada program ini, jadi saya bawa isteri Sabariah Harun untuk sama-sama daftar. Saya harap giliran disuntik diterima awal,” katanya ketika ditemui.

Sementara itu, seorang orang kelainan upaya (OKU) Lim Lian Sin tetap gagah hadir bertongkat bagi memastikan dirinya mendapat suntikan imunisasi.

Lim Lian Sin. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Lian Sin, 79, berkata dia membuat pendaftaran itu secara sukarela tanpa paksaan mana-mana pihak kerana sedar akan kepentingan vaksin selain dirinya merupakan golongan berisiko.

“Pakcik tak tahu guna telefon (telefon pintar). Pakcik pun tidak tahu membaca menulis. Tadi datang tunjuk kad pengenalan sahaja. Nanti bila dapat tarikh, mereka akan beritahu,” katanya.

Program selama dua jam di Taman Senangin, Jajaran Sungai Buloh itu berjaya membantu 66 individu membuat pendaftaran dengan 90 peratus merupakan warga emas.


Pengarang :