Seorang kanak-kanak mengibarkan bendera Palestine dalam protes aman di Lahore, Pakistan pada 22 Mei 2021. Foto AFP
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Ambulans Palestin sumbangan Selangor mula operasi hujung Julai

SHAH ALAM, 15 JULAI: Ambulans untuk penduduk Palestin yang dibeli menggunakan dana Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin bakal digunakan hujung bulan ini.

Ketua pegawai eksekutif Global Peace Mission (GPM) Malaysia berkata pembelian kenderaan bernilai RM350,000 yang dilengkapi alat perubatan itu dijangka selesai selepas Hari Raya Aidiladha.

Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata ambulans itu dibeli di Palestin bagi memudahkan urusan penghantaran dan penempatan di hospital ditentukan Kementerian Kesihatan negara berkenaan.

“Sumbangan ambulans hasil daripada inisiatif Kerajaan Selangor ini bakal memanfaatkan penduduk Palestin memandangkan situasi negara itu yang sering diancam musuh.

“Ambulans berkenaan dapat membantu mempercepat proses membawa pesakit ke hospital dan menyelamatkan nyawa mereka,” katanya ketika dihubungi.

Pada 25 Jun, Kerajaan Negeri mengumumkan sebanyak RM370,000 daripada fasa pertama Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin akan disalurkan kepada GPM untuk membeli sebuah ambulans dan bantuan makanan kepada penduduk Palestin.

Selangor melancarkan tabung berkenaan untuk rakyat Palestin selama 10 hari sejak 19 Mei, namun dilanjutkan kepada 31 Julai susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Selain ambulans dan makanan, kutipan daripada tabung itu juga akan digunakan untuk membeli tiga buah trak bantuan, bahan bakar dan set generator.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh membuatnya melalui nombor akaun 8604747531 (Cimb Islamic Bank Berhad) atas nama Bendahari Negeri Selangor dan rujukan Palestin.


Pengarang :