Selangorkini
AGENDA NASIONAL

Baru bebas dua hari, bekas banduan dipenjara semula curi motosikal

KUALA LUMPUR, 14 JULAI: Seorang bekas banduan yang baru sahaja dibebaskan dari penjara dua hari lepas, dijatuhi hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Majistret Selayang di sini hari ini kerana mencuri sebuah motosikal.

Majistret Nik Fadli Nik Azlan menjatuhi hukuman itu terhadap S. Nagendran, 39, selepas dia mengaku bersalah mencuri sebuah motosikal milik tukang masak, Soon Tek Chai, 36, di hadapan sebuah kedai kopitiam di Taman Seri Batu Caves, Gombak, di sini antara 7.10 malam dan 8.30 pagi, pada 9 hingga 10 Julai lepas.

Mahkamah memerintahkan Nagendran menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh dia ditangkap pada 10 Julai.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum setahun dan tidak melebihi tujuh tahun dan juga boleh dikenakan denda.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, Soon yang juga pengadu dalam kes ini mendapati motosikal miliknya yang diparkir di hadapan kedai tempat dia bekerja sebagai tukang masak telah hilang sebelum membuat laporan polis mengenai kejadian itu.

Berdasarkan hasil siasatan dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), polis menahan tertuduh yang mempunyai 20 rekod jenayah lampau di hadapan sebuah kedai serbaneka dan dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Khairunnisak Hassni memohon hukuman setimpal mengambil kira faktor tertuduh ditangkap ketika sedang membawa motosikal yang dicuri dan sebelum ini dia telah dipenjara atas kesalahan sama, namun peguam daripada Yayasan Bantuan Peguam Kebangsaan (YBGK) M. Mariappan yang mewakili tertuduh memohon hukuman ringan atas alasan anak guamnya mempunyai tanggungan keluarga.

-BERNAMA


Pengarang :