Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan bertitah ketika Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal ketiga Dewan Negeri Selangor di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada 16 Mac 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Dewan negeri bersidang sembilan hari mulai 23 Ogos

SHAH ALAM, 9 JULAI: Dewan Negeri Selangor (DNS) akan bersidang mulai 23 Ogos ini setelah mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor.

Dato’ Menteri Besar dalam kenyataan hari ini menyebut persidangan selama sembilan hari hingga 6 September mengikut format biasa meliputi soal jawab dan perbahasan, bukan sekadar sidang khas.

“Kerajaan Negeri menjunjung kasih atas perkenan Seri Paduka Baginda dan DYMM Sultan Selangor yang sentiasa prihatin terhadap kebebasan amalan demokrasi di negeri ini.

“DYMM Sultan Selangor berkenan berangkat dan mencemar duli bagi merasmikan istiadat pembukaan pada 23 Ogos. DNS kemudian akan bersidang selama lapan hari,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Kenyataan sama menyebut surat perkenan daripada Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah diterima pada 6 Julai selaras peruntukan dalam Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021.

Amirudin berkata sidang dewan dibuat mengikut tatacara pengendalian piawai yang menumpukan usaha menangani penularan Covid-19 dan mendapatkan cadangan wakil rakyat sebagai sistem semak imbang.

“Ini juga selaras aspirasi rakyat agar setiap keputusan Kerajaan Negeri dibuat secara bertanggungjawab dan berhemah serta mempertingkat usaha mendepani wabak di Selangor,” katanya.

Pada 26 Jun, Speaker DNS Ng Suee Lim berkata Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj memberi perkenan untuk pembukaan sidang dewan melalui surat yang diutus setiausaha sulit baginda.


Pengarang :